Hizbullah lancar dron paling canggih ke Israel - Utusan Malaysia

Hizbullah lancar dron paling canggih ke Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hizbullah melancarkan dron baharu yang sukar dikesan buat pertama kali pada Isnin, dengan menghantar sekurang-kurangnya 40 dron ke arah utara Israel.

Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan satu dron tersebut dilengkapi sistem panduan optik yang tahan terhadap peperangan elektronik, terhempas di kawasan penempatan Kiryat Shmona.

Menurut laporan itu, hanya sebilangan kecil dron berjaya dipintas, manakala selebihnya didakwa mengenai sasaran dan menyebabkan kerosakan besar.

KAN turut memaklumkan dron tersebut mampu mengelak pengesanan, bergerak di dalam bangunan, membawa sehingga lima kilogram bahan letupan serta mampu terbang sejauh puluhan kilometer.

Media itu menyifatkan sistem tersebut sebagai antara aset udara paling canggih yang dimiliki Hizbullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hizbullah turut mengumumkan beberapa siri serangan dron pada hari sama yang menyasarkan kedudukan tentera Israel, pusat komando dan berek tentera di utara Israel serta selatan Lubnan.

Peningkatan ketegangan berlaku ketika situasi serantau memuncak susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran yang dilaporkan mengorbankan lebih 3,300 nyawa sejak 28 Februari.

AS dan Iran mengadakan rundingan bersemuka pertama mereka di Pakistan pada hujung minggu lalu bagi meredakan konflik, namun rundingan tersebut berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Lubnan dan Israel dijadualkan mengadakan pertemuan pertama mereka pada Selasa di Washington bagi usaha mencapai gencatan senjata serta memulakan rundingan secara langsung.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×