Hampir separuh dapur komuniti Sudan ditutup

Hampir separuh dapur komuniti Sudan ditutup

PEKERJA bantuan Sudan menyediakan makanan untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kem Abu al-Naga di negeri Gedaref, di Khartoum.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Hampir separuh dapur komuniti yang menjadi ‘talian hayat’ kepada penduduk Sudan terpaksa ditutup dalam tempoh enam bulan lalu akibat kekurangan sokongan antarabangsa serta kesan perang melibatkan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.

Menurut kajian terbaharu Islamic Relief, dapur yang dikendalikan kumpulan bantuan tempatan itu memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan kepada berjuta-juta orang awam di tengah konflik berterusan.

Tinjauan terhadap 844 dapur di enam negeri mendapati sebanyak 354 daripadanya atau 42 peratus, ditutup susulan kekurangan dana dan bekalan.

Laporan itu turut menyatakan, lebih 21 juta penduduk Sudan, atau 45 peratus daripada populasi, kini berdepan kekurangan makanan akibat perpindahan besar-besaran serta serangan ke atas kawasan pertanian dan laluan perdagangan.

Dalam perkembangan sama, konflik AS-Israel terhadap Iran sejak sebulan lalu turut mengganggu rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap dapur komuniti apabila bekalan makanan berkurangan dan kos bahan api melonjak sehingga 187 peratus dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Jumlah orang hilang yang dilaporkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Sudan kini melebihi 11,000 kes, peningkatan sebanyak 40 peratus dalam tempoh setahun lalu.

Sementara itu, Jerman mengumumkan bantuan tambahan sebanyak 20 juta euro (RM93 juta) kepada Sudan tahun ini, dengan komitmen pembiayaan lanjut masih dalam penilaian.

Kementerian pembangunan dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, sehingga akhir 2025, sebanyak 155.4 juta euro (RM723.8 juta) disalurkan bagi menyokong projek di Sudan serta negara jiran yang terjejas akibat konflik.

Jumlah bantuan itu akan dipertingkatkan lagi tahun ini, menjelang persidangan bantuan antarabangsa mengenai Sudan yang dijadual berlangsung di Berlin pada hari sama.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN