NILAI: Skuad pecut wanita negara turut menerima tamparan di laman sendiri apabila tersingkir seawal pusingan pertama acara pecut berpasukan pada Piala Trek Dunia di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Gandingan Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid mencatat masa 48.297 saat (s) sebelum tunduk kepada Poland yang merekodkan 47.673s dalam saingan pusingan pertama.
Lebih mencuri perhatian, trio negara itu hampir memadam rekod kebangsaan apabila mencatat 48.274s dalam pusingan kelayakan, hanya kurang 0.188s daripada catatan 48.086s yang dilakar pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina bulan lalu.
Acara tersebut menyaksikan pasukan China memenangi emas selepas menewaskan juara dunia dari Belanda manakala skuad negara menamatkan di kedudukan ketujuh daripada 11 pasukan yang bertanding.
Keputusan tersebut bagaimanapun masih memberikan petanda positif apabila skuad negara kekal kompetitif meskipun berdepan kekangan kesihatan menjelang perlumbaan.
Anis menjelaskan, beliau dan rakan sepasukan tidak berada pada tahap terbaik dari segi fizikal, namun tetap berjaya memberikan saingan sengit kepada lawan.
“Saya tidak melihat ini sebagai satu kekecewaan kerana catatan masa kami hampir menyamai rekod kebangsaan walaupun saya baru pulih daripada demam dan Izzah juga kurang sihat.
“Dalam pusingan kelayakan kami hanya fokus untuk melakukan yang terbaik bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.
Menurutnya, sasaran untuk memperbaiki masa pada pusingan pertama tidak kesampaian apabila beberapa faktor termasuk perubahan kondisi trek dan tekanan perlumbaan memberi kesan kepada prestasi pasukan.
“Memasuki pusingan pertama, kami menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa, namun keadaan trek yang sedikit berbeza serta tekanan perlumbaan mungkin menjadi antara faktor yang menjejaskan usaha tersebut.
“Jika dibandingkan dengan trek di Tagaytay ketika kami mencipta rekod, permukaannya lebih baharu dan dipercayai lebih lancar, tetapi sebagai tuan rumah kami tetap memberikan yang terbaik di sini,” katanya. – UTUSAN










