Elak IPT jadi pengeluar sijil tidak berkualiti - PM

Elak IPT jadi pengeluar sijil tidak berkualiti – PM

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Program Temu Anwar di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mempertahankan mutu universiti dalam semua bidang bagi mengelak institusi pendidikan tinggi (IPT) menjadi kilang yang hanya mengeluarkan sijil tidak berkualiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan menekankan aspek kecemerlangan di peringkat universiti berisiko menjadikan institusi berkenaan sekadar mengeluarkan sijil tidak bermutu, sekali gus menjejaskan masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata, perkara itu penting memandangkan Malaysia merupakan antara negara pilihan pelajar antarabangsa dengan kira-kira 160,000 penuntut asing kini mengikuti pengajian di universiti tempatan.

Katanya, jumlah pelajar asing itu membuktikan Malaysia antara negara dengan jumlah penuntut antarabangsa tertinggi dalam kalangan ASEAN, sekali gus mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan negara.

“Jika universiti tidak menjurus ke arah kecemerlangan, ia akan menjadi lemah dan sekadar kilang yang mengeluarkan sijil tidak bermutu. 

“Keadaan ini akan memberi kesan kepada pembentukan budaya sejak peringkat awal. Sebab itu kita tekankan soal mutu dalam pelbagai bidang,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar dan Peluncuran Bangunan Baharu Kampus Universiti UCSI di Hotel Le Quadri, hari ini. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sistem pendidikan negara perlu seimbang antara penguasaan ilmu, pengukuhan nilai kemanusiaan dan kemajuan teknologi.

Katanya, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi memiliki akhlak, etika dan jati diri yang kukuh sebagai seorang insan.

Justeru katanya, kemajuan teknologi termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) tidak boleh mengabaikan aspek pembinaan insan dan nilai kemanusiaan.

“Sebab itu saya tertarik dengan pendekatan di universiti ini (UCSI) dan tempat lain. Mengikut pendekatan kita, sementara kita menggapai yang di langit, iaitu teknologi dan AI.

“Kita tidak boleh meninggalkan landasan, dan landasan itu adalah budaya, sahsiah atau keperibadian, nilai, etika atau akhlak kita. Kerana ia meletakkan kita ini unik dan istimewa.

“Jadi kita harus mengejar kedua-duanya. Dalam sistem pendidikan kita, sementara kita mengejar sekali lagi teknologi baharu, sains dan AI, maka soal seni dan budaya, muzik, kesenian, kebudayaan dan pertimbangan penekanan mengenai nilai sangat penting,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kualiti pendidikan dan moral perlu bergerak seiring bagi melahirkan masyarakat seimbang serta berdaya saing. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN