Kerajaan kaji naik taraf ekosistem 36 politeknik seluruh negara - KPT

Kerajaan kaji naik taraf ekosistem 36 politeknik seluruh negara – KPT

ZAMBRY Abdul Kadir (empat kiri) menyempurnakan gimik sempena Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Pontian, di Benut, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kerajaan sedang mengkaji usaha menaiktaraf kesemua 36 politeknik di seluruh negara untuk membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) itu menawarkan kursus pada tahap lebih tinggi seperti ijazah dan sarjana pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu bukan sahaja melibatkan taraf pendidikan yang ditawarkan tetapi juga seluruh ekosistem politeknik dan kursus-kursus ditawarkan.

Katanya, politeknik bukan lagi sekadar tempat melahirkan tenaga kerja separa mahir tetapi juga tenaga berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan semi-konduktor.

“Setakat ini ada empat buah politeknik menawarkan pengajian peringkat ijazah seperti Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan juga Politeknik Ungku Omar (PUO). Jadi kerajaan sedang lihat semula akta sedia ada, kita jangka hujung tahun ini atau awal tahun depan cadangan itu akan dikemukakan.

“Sebagai contoh apakah politeknik boleh tawarkan kursus-kursus di peringkat ijazah, sarjana dan seterusnya. Kalau kita lihat model politeknik terbaik di serata dunia, mereka juga kemukakan idea-idea besar ini, jadi kita harap ianya dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Pontian, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.

Zambry berkata, langkah ini sekaligus menolak dakwaan segelintir pihak bahawa politeknik hanya menawarkan kursus-kursus kemahiran yang tidak relevan dengan pasaran kerjaya semata-mata untuk menarik kemasukan penuntut.

“Ada orang kata kursus-kursus di politeknik kursus lelongan, kursus yang tidak relevan dengan pasaran, tetapi itu sebenarnya tidak benar sama sekali. Politeknik sentiasa beri penekanan khusus kepada keperluan pasaran terkini dan juga dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Mengenai Kolej Komuniti Pontian, Zambry berkata, kerja pembinaan akan bermula tahun depan dan dijangka siap antara 2028 atau 2029, dengan kos berjumlah RM70 juta.

Hingga kini Johor mempunyai 15 Kolej Komuniti, terbanyak dalam negara, sekaligus petanda baik dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan dalam bidang berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN