Kenyataan Dong Zong tersasar, tidak bertanggungjawab 

Kenyataan Dong Zong tersasar, tidak bertanggungjawab 

ZAMBRY ABD KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi menempelak kenyataan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendakwa kononnya kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan itu jelas tersasar dan tidak bertanggungjawab terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

Beliau berkata, kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluaskan tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata. Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.

“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu. Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu mempertahankan prinsip dan dasar nasional yang telah sekian lama menjadi asas perpaduan serta identiti negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada 15 Mei lalu, Dong Zong melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Jemaah Menteri yang dikatakan penuh dengan pernyataan yang samar-samar serta mengandungi pelbagai sekatan yang menjadikannya sekadar langkah separuh hati.

Menurutnya, pengumuman itu jauh daripada harapan masyarakat Cina, gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan dan mendedahkan kelemahan yang wujud dalam sistem sedia ada.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, langkah kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat mereka mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah SPM bukan suatu yang kabur, tidak adil dan kecacatan sistemik seperti didakwa Dong Zong. 

Sebaliknya, katanya, ia adalah satu pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab dalam menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

“Dalam hubungan ini, ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak dikompromi. 

“Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak,” katanya. 

Beliau berkata, isu lebih besar adalah bagaimana negara membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk kerana pendidikan tidak boleh terus dilihat daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata. 

Jelasnya, masa depan negara memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama.

“Dong Zong juga perlu memahami universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara. Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara. Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN