Pengecualian UEC, pengkhianatan pada sistem pendidikan negara

Pengecualian UEC, pengkhianatan pada sistem pendidikan negara

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan memberikan syarat iaitu lulus atau kepujian dalam Bahasa Malaysia dan Sejarah kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) merupakan satu pengecualiannya yang tidak memenuhi peraturan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, peraturan untuk melanjutkan pengajian ke IPTA di seluruh negara adalah memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh bukannya separa atau dua mata pelajaran sahaja.

Katanya, apabila pengecualian diberikan ia bermaksud peraturan sebenar untuk me­lanjutkan pengajian tidak dipatuhi dan perkara itu sangat tidak adil khususnya kepada pelajar masyarakat Cina yang telah setia dengan sistem pendidikan arus perdana.

“Walaupun kerajaan meletakkan syarat iaitu lulus atau memperoleh kepujian dalam BM dan Sejarah itu merupakan suatu keistimewaan kepada pelajar UEC, sedangkan ramai pelajar Cina yang mengikuti sistem pendidikan sebenar dari Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sehingga tamat tidak diberikan pengecualian sebegitu.

“UEC ini merupakan entiti luar daripada sistem pendidikan, ia tidak boleh diterima masuk sewenang-wenangnya dalam sistem pendidikan kita walaupun bersyarat atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kok Seong mengakui bahawa dirinya kekal menjadi penentang yang konsisten terhadap pengiktirafan UEC dulu, kini dan selamanya kerana beliau melihat ketidakadilan terhadap majoriti masyarakat Cina yang tidak memperoleh keistimewaan sedangkan sudah setia dengan sistem pendidikan arus perdana sejak sekolah rendah.

Beliau berkata, kesetiaan majoriti pelajar Cina yang belajar di sekolah arus perdana dari tahun satu sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu diberikan keadilan sewajarnya.

“Pelajar Cina ini mereka mengikuti SK atau SJKC sehingga Tahun Enam kemudian masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) atau Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis Cina (SMKJC), belajar dengan menggunakan Bahasa Malaysia dalam pembelajaran tidak seperti UEC.

“Kepada anak bangsa kita yang sanggup berada dalam sistemlah harus diutamakan. Apabila dibukanya ruang kepada UEC dan sebagainya ini kita sebenarnya zalim dan berkhianat kepada mereka yang setia.” katanya.

Menggunakan peribahasa ‘beruk di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’, Kok Seong mempersoalkan pertimbangan kewajaran sistem UEC diperluaskan sedangkan kuota kemasukan ke IPTA dalam kalangan masyarakat Cina amatlah sengit.

“Tempat kepada mereka bukannya banyak, setiap tahun kita dengar rungutan mereka tidak mendapat tempat dalam banyak bidang yang mereka mahu sebagai contoh perakaunan dan sebagainya, jadi kenapa perlu diperluaskan kepada UEC.

“Untuk anak bangsa sendiri pun tak cukup makan, ini kita hendak menyusukan beruk di hutan pula,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem pendidikan UEC merupakan suatu kes terpencil dengan hanya sekitar 10,000 pelajar mengikutinya saban tahun namun diberikan perhatian besar sejak dahulu.

“Ia kes terpencil untuk kita beri perhatian begitu serius. Jumlahnya kecil, mereka yang memilih laluan itu adalah mereka yang tidak yakin dengan sistem pendidikan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN