KUALA LUMPUR: Deftech Unmanned Systems Sdn. Bhd. (DUS) memeterai surat hasrat (LOI) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memperkasakan transformasi sektor pembuatan melalui teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Syarikat DUS, Dr. Mohd. Suhaimi Omar berkata, kerjasama ini bertujuan untuk mengintegrasikan penggunaan AI dan analitik data ke dalam ekosistem pembuatan, merangkumi sektor angkasa lepas sehingga automotif.
“Kami mahu meningkatkan keupayaan sedia ada dalam industri 4.0 yang kini banyak bergantung kepada sensor IoT dengan menyuntik elemen AI dan analitik data.
“Ini secara langsung akan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih tepat, seterusnya meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos pembuatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau menegaskan, penglibatan antara pihak industri dan akademik adalah tonggak utama dalam strategi jangka panjang syarikat bagi pembangunan keupayaan dan pengukuhan ekosistem pertahanan negara.
“Rakan strategik bersama institusi pengajian tinggi membolehkan pemindahan ilmu dan inovasi gunaan dilakukan secara lebih efektif bagi memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, kolaborasi berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk menterjemahkan hasil penyelidikan akademik kepada aplikasi praktikal yang memberi impak kepada industri.
“Kerjasama sebegini mengukuhkan lagi peranan universiti dalam menyokong keperluan industri, transformasi digital nasional, serta pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Difahamkan bahawa skop kerjasama di bawah LOI itu merangkumi perkongsian kepakaran dalam pembuatan dipacu AI, perkongsian sumber penyelidikan, data, kemudahan fasiliti serta pelaksanaan program latihan bersama.
Sebagai perintis dalam sistem tanpa pemandu, DUS sebelum ini sudah mencatatkan kejayaan melalui kerjasama dengan institusi lain seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) taktikal pertama negara. – UTUSAN










