KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan berjaya menambah baik kenderaan Pelupusan Bahan Letupan Kawalan Jarak Jauh (EOD) bagi membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan operasi pertahanan dan menyelamat.
Jurucakap Alkhaliq Global Sdn. Bhd. berkata, kenderaan EOD itu telah ditambah baik berbanding versi 2003 dan kini dilengkapi dengan pengintegrasian senjata laser berkuasa 500 watt (W).
Selain itu, beliau berkata, motor kenderaan EOD itu juga dinaik taraf kepada 750W, bateri kepada 3480 watt jam (Wh), aktuator daripada hidraulik kepada bermotor, menggunakan Pemultipleksan Pembahagian Frekuensi Ortogon Berkod (OCMD), boleh dikawal dengan menggunakan tablet serta dilengkapi sistem pengimejan 4K dan inframerah termal.
“Kenderaan EOD berasal dari United Kingdom (UK) pada 2003 dan Alkhaliq membuat penambahbaikan, menggunakan pelbagai peralatan dan sistem perisian baharu oleh jurutera dan pasukan kami yang merupakan warga tempatan.
“Dengan penambahbaikan yang kami lakukan, dahulu jika ada peluru yang tidak meletop, tentera tidak boleh tinggalkan, mereka kena musnahkan. Jadi, apabila kenderaan EOD dilengkapi senjata laser, ia membantu apabila bom boleh dimusnahkan dari jarak 50 meter,” katanya ditemui Utusan Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Selain kenderaan EOD, Alkhaliq turut mempamerkan sistem amaran laser dan pelancar bom tangan dan komputer balistik projektil mudah alih yang dikeluarkan syarikat.
Jurucakap itu berkata, kesemua produk adalah hasil jurutera dan pasukan dari Malaysia tanpa kolaborasi atau kerjasama dengan tenaga luar.
“Komputer balistik projektil mudah alih atau dipanggil fire control system digunakan untuk membantu ketepatan tembakan altelari dan moltar. Anak tempatan kita hasilkan mengikut piawaian antarabangsa.
“Ia juga boleh diintegrasikan dengan paparan penembak digital dan drone pengawasan,” katanya. – UTUSAN










