KUALA LUMPUR: Konflik di Asia Barat perlu diselesaikan segera bagi mengurangkan kesan ekonomi yang semakin ketara terhadap ASEAN dan peringkat global.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, gangguan di Selat Hormuz menjejaskan keselamatan ekonomi ASEAN dengan kesan rantaian dirasai merentasi pelbagai sektor.
“Peningkatan mendadak harga tenaga, baja dan pengangkutan sedang menaikkan harga makanan, meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran serta memacu inflasi,” titah baginda dalam Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya Kelapan yang dianjurkan semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut menegaskan, negara yang mempunyai rizab tenaga rendah amat terdedah kepada gangguan berpanjangan dan memberi amaran bahawa sumber pendapatan rakyat boleh terjejas selama berbulan-bulan, walaupun keadaan kembali stabil dalam masa terdekat.
“Justeru, adalah amat penting rundingan untuk menamatkan konflik Asia Barat diselesaikan dengan segera dan berjaya,” titah baginda.
Selat Hormuz merupakan laluan minyak paling kritikal di dunia menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman.
Kira-kira 20 hingga 30 peratus penggunaan minyak global melalui selat ini setiap hari, menjadikannya nadi penting kepada keselamatan tenaga dan ekonomi dunia.
Delegasi Amerika Syarikat (AS) dijangka ke Pakistan tidak lama lagi untuk pusingan baharu rundingan damai dengan Iran selepas pengumuman pembukaan sementara selat itu dalam tempoh gencatan senjata.
Bagaimanapun, kelonggaran sementara itu terjejas apabila kedua-dua pihak terus melaksanakan sekatan.
Teheran menutup selat tersebut selepas kempen pengeboman udara oleh AS dan Israel ke atas Iran bermula 28 Februari lalu. Sejak itu, pergerakan melalui Selat Hormuz yang mengangkut sekitar satu perlima bekalan minyak dan gas dunia merosot dengan ketara. – UTUSAN










