Pembangunan AI di Asia Tenggara perlu berasas keadilan, keterangkuman -Sultan Nazrin

Pembangunan AI di Asia Tenggara perlu berasas keadilan, keterangkuman -Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan ucapan pada Majlis Putrajaya Forum 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Blok negara ASEAN perlu memastikan pembangunan kecerdasan buatan (AI) memberi penekanan kepada prinsip keadilan dan keterangkuman, telus dalam operasinya serta bertanggungjawab kepada komuniti yang terlibat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pendekatan itu perlu disokong dengan pelaksanaan audit oleh badan bebas bagi memastikan penggunaan teknologi berkenaan tidak menyimpang daripada kepentingan masyarakat.

“Langkah berkenaan bukanlah bertujuan menyekat inovasi, sebaliknya menjadi asas penting bagi memastikan inovasi yang dibangunkan mendapat kepercayaan dan legitimasi awam.

“Persoalannya bukan sama ada ASEAN akan menggunakan AI, kerana ia sudah pun digunakan secara meluas, tetapi sama ada rantau ini akan menjadi peneraju dalam membentuk penggunaannya atau sekadar menjadi pengguna kepada teknologi yang dibangunkan pihak luar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya ke-8 yang dianjurkan sempena Defence Service Asia 2026 dan National Security Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Menurut baginda, model pembangunan AI yang dominan ketika ini dilihat tertumpu dalam tangan segelintir syarikat besar dan negara berkuasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesannya kepada kesejahteraan sosial serta kepelbagaian budaya, khususnya di rantau ASEAN.

“Model pembangunan AI yang dominan pada masa kini tertumpu di tangan sebilangan kecil syarikat besar dan negara berkuasa. Struktur insentifnya memberi ganjaran kepada skala, kelajuan dan penguasaan pasaran.

“Apa yang tidak diberi ganjaran dan dalam beberapa keadaan, sengaja diketepikan seperti yang ditunjukkan oleh kes undang-undang baru-baru ini di Amerika Syarikat terhadap Meta Platforms dan YouTube, ialah perpaduan sosial, kepelbagaian budaya, atau kesejahteraan jangka panjang komuniti yang datanya digunakan untuk melatih sistem tersebut, tetapi nilainya jarang sekali membentuknya,” titah baginda.

Tegas baginda lagi, bagi ASEAN, perkara itu bukan sekadar kebimbangan teoritikal, sebaliknya realiti yang perlu diberi perhatian serius memandangkan kepelbagaian luar biasa rantau ini dari segi bahasa, agama, budaya dan sistem pemerintahan.

“Algoritma yang tidak memahami kita dengan tepat tidak akan memberi manfaat kepada kita, malah mungkin memudaratkan.

“Oleh itu, kita mesti menegaskan keperluan terhadap AI yang prososial sejak dari reka bentuk: sistem yang dibina berasaskan keadilan dan keterangkuman, telus dalam operasinya, bertanggungjawab kepada komuniti yang terkesan, serta boleh diaudit oleh badan bebas.

“Ini bukan antiinovasi, sebaliknya syarat yang membolehkan inovasi memperoleh legitimasi,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN