KUALA LUMPUR: Pengorbanan dan dedikasi pasukan keselamatan menjadi benteng utama negara dalam memastikan Malaysia kekal damai, stabil, dan sejahtera.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tanpa komitmen tinggi daripada mereka, keamanan dan ketenteraman yang dinikmati hari ini sukar dipertahankan.
Titah baginda, rakyat sentiasa memerhati setiap tindakan pasukan keselamatan dan setiap keputusan yang diambil memberi impak besar terhadap keyakinan masyarakat.
“Justeru, dalam memberikan perkhidmatan sifat sabar, tenang, jujur, dan ikhlas mesti sentiasa diutamakan.” titah baginda semasa berkenan berangkat melawat Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), hari ini.
Keberangkatan baginda merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan sektor pertahanan negara, khususnya dalam memperkasa inovasi teknologi, merangsang pertumbuhan industri tempatan serta memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa.
Sepanjang lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda berkenan singgah di pelbagai pempamer utama dunia, antaranya Reunert Electronics, Rosoboronexport, Colt CZ, FN Herstal, Heckler & Koch, Steyr Arms, Weststar, Mal Tech serta Caracal selain Pavilion Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
DSA 2026 turut menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem pertahanan negara, selari dengan aspirasi Malaysia untuk terus ke hadapan sebagai negara yang inovatif, berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran keselamatan global masa hadapan. – UTUSAN










