Cabaran awal menanti skuad sepak takraw negara

Cabaran awal menanti skuad sepak takraw negara

KETUA jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun bercakap pada Majlis Pelancaran dan Pengundian TM ISTAF Sepak Takraw Piala Dunia 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara dijangka berdepan ‘perang awal’ sebaik tirai Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dibuka, Mei depan.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan keputusan undian yang tampak seimbang sebenarnya menyimpan cabaran besar, sekali gus menuntut tahap konsistensi lebih tinggi daripada setiap pemain.

Katanya, tiada lagi istilah lawan mudah dalam saingan kali ini apabila hampir semua pasukan menunjukkan peningkatan ketara.

“Undian nampak seimbang, tetapi hakikatnya ia lebih mencabar. Kita perlu anggap setiap perlawanan seperti final dan kekalkan konsistensi dari awal hingga akhir,” katanya.

SETIAUSAHA Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader (tiga kiri) bersama Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan (empat kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran dan Pengundian TM ISTAF Sepak Takraw Piala Dunia 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Malaysia yang turun dengan reputasi naib juara lalu kini berdepan tekanan untuk membuktikan kemampuan sebenar, terutama dalam acara berpasukan apabila diundi bersama dua kuasa meningkat naik, India dan Myanmar dalam Kumpulan B.

Menurut Ahmad Jais, kedua-dua negara itu tidak lagi boleh dipandang sebelah mata selepas mempamerkan lonjakan prestasi yang signifikan sejak kebelakangan ini.

“Kita sudah lihat perkembangan mereka. Corak permainan semakin matang dan agresif. Jika leka, kita sendiri yang akan terperangkap,” ujarnya.

Dalam acara regu, Malaysia bakal mengharungi cabaran Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura, manakala bagi acara kuadran, skuad negara diundi ke Kumpulan C bersama India, Singapura dan Korea Selatan.

Dengan jadual padat dan saingan sengit di setiap kategori, pendekatan ‘satu perlawanan ke satu perlawanan’ menjadi pegangan utama kem negara dalam usaha memburu kejuaraan.

Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei ini, dengan Malaysia menggalas harapan tinggi penyokong untuk menamatkan penantian menjulang gelaran dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN