Tindakan Thailand tidak matang

Tindakan Thailand tidak matang

Pemain-pemain Thailand duduk di tepi gelanggang dan enggan meneruskan permainan gara-gara membantah keputusan pengadil perlawanan dalam acara akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menyifatkan tindakan pasukan Thailand yang enggan meneruskan perlawanan pada aksi final regu berpasukan Piala Dunia 2026 semalam tidak profesional.

Katanya, dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti final, setiap pasukan wajar menerima keputusan pengadil terutama selepas semakan video (video referral) mengesahkan berlaku kesalahan teknikal oleh pemain Thailand.

“Kalau ikut pandangan saya, bila video sudah sahkan kesilapan, mereka perlu terima dan teruskan permainan. Nak protes itu boleh, tapi bukan dengan cara berhenti bermain. Itu kurang matang,” katanya.

Malaysia muncul juara selepas menang 2-1 di Stadium Titiwangsa, namun kemenangan itu dicemari insiden kontroversi apabila Thailand bertindak meninggalkan gelanggang pada set kedua regu ketiga, sekali gus menghadiahkan kemenangan percuma kepada tuan rumah.

Insiden tercetus selepas keputusan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mei, memberikan mata kepada Malaysia susulan kesalahan pemain Thailand yang didapati melepasi garisan bawah jaring menerusi semakan video.

Mengulas situasi itu, Ahmad Jais mengakui beliau sendiri kurang selesa dengan cara kemenangan tersebut diraih, meskipun tetap menghormati keputusan rasmi perlawanan.

“Secara peribadi, kita pun tak puas hati dengan cara kemenangan macam ini. Tapi keputusan pengadil adalah muktamad dan Thailand sendiri memilih untuk tidak meneruskan permainan,” katanya.

Tambahnya, perlawanan berkemungkinan lebih mencabar sekiranya insiden itu tidak berlaku, malah beliau percaya Thailand mampu memberi tekanan besar kepada skuad negara.

Dalam masa sama, beliau memuji disiplin dan semangat juang anak buahnya yang tetap beraksi bermati-matian sepanjang perlawanan bagi menghadiahkan kejuaraan kepada Malaysia.

Kejayaan itu turut diraih ketika skuad negara kehilangan tekong utama, Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang mengalami kecederaan tendon lutut kanan dan dijangka menjalani pemeriksaan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN