Buakaw tiada tandingan

Buakaw tiada tandingan

Legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek (angkat tangan) ketika memenangi menentang pencabar dari China, Meng Gaofeng dalam aksi T-Fight All Star di Stadium Titiwangsa, semalam. - IHSAN FACEBOOK PGX
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek terus membuktikan kehebatannya apabila menundukkan pencabar muda dari China, Menggofeng pada aksi kemuncak T-Fight All Star 2026 di Stadium Titiwangsa, semalam.

Dalam pertarungan sarat aksi, Buakaw yang kini berusia 43 tahun menggunakan pengalaman luas serta kawalan gelanggang untuk menewaskan lawannya yang jauh lebih muda menerusi keputusan mata.

Sorakan padu penonton menggegarkan stadium sebaik kedua-dua pejuang membuat kemunculan, sekali gus menyemarakkan suasana menjelang pertarungan utama.

Sepanjang aksi berlangsung, Buakaw dilihat lebih tajam dari segi taktikal dan konsisten dalam melancarkan serangan sehingga berjaya memikat juri.

Kemenangan itu sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai ikon Muay Thai dunia selain membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

Penganjuran T-Fight All Star 2026 turut diserikan dengan tujuh lagi pertarungan menarik melibatkan barisan pejuang tempatan dan antarabangsa.

Pengasas T-Fight, Shamsueffendi Mohammad menyifatkan kejayaan penganjuran kali ini sebagai bukti Malaysia mampu menganjurkan acara bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan T-Fight kali ini dengan kehadiran penonton penuh menunjukkan Malaysia mampu anjurkan acara besar dan kita mahu bawa nama besar seperti Rodtang Jitmuangnon pada masa depan.

“Perancangan itu masih di peringkat awal tetapi kita yakin T-Fight boleh bersaing dengan acara antarabangsa lain dan Malaysia ada platform sendiri untuk sukan tempur,” katanya.

Dalam masa sama, kejohanan itu turut memberi impak sosial apabila hasil jualan tiket dan Pay-Per-View berjaya menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Pusat Autisme Pengaman PDRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN