Atletico ikat Arsenal di Metropolitano

Atletico ikat Arsenal di Metropolitano

PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann (kiri) bersaing merebut bola dengan pertahanan Arsenal, William Saliba dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah antara Atletico Madrid dan Arsenal di Stadium Metropolitano, Madrid, awal pagi tadi-AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Jaringan penalti Julian Alvarez memastikan Atletico Madrid mengikat Arsenal 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Metropolitano, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Mikel Arteta terlebih dahulu berada di hadapan menerusi sepakan penalti Viktor Gyokeres pada penghujung babak pertama selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Atletico bangkit pada separuh masa kedua apabila Alvarez tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas bola terkena tangan pertahanan Arsenal, Ben White.

Arsenal hampir meraih kelebihan penting menjelang aksi timbal balik apabila dihadiahkan satu lagi sepakan penalti pada penghujung permainan, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati sentuhan David Hancko ke atas Eberechi Eze adalah minimum.

Atletico yang dibimbing Diego Simeone mempamerkan aksi lebih bertenaga selepas rehat dengan beberapa peluang terbaik, termasuk percubaan Antoine Griezmann yang sekadar melewati palang.

Penjaga gol Arsenal, David Raya turut cemerlang apabila menggagalkan beberapa percubaan berbahaya, termasuk daripada Ademola Lookman.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan masih memiliki peluang seimbang menjelang aksi timbal balik di London minggu depan, dengan Arsenal dilihat mempunyai sedikit kelebihan beraksi di laman sendiri.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN