AS banteras rangkaian penipuan visa wanita hamil - Utusan Malaysia

AS banteras rangkaian penipuan visa wanita hamil

SEORANG bayi bermain dengan bendera AS pada upacara naturalisasi untuk warganegara baharu di Memorial Perang Dunia II di Washington, DC.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang tindakan tegas terhadap rangkaian yang didakwa membantu wanita hamil menipu dalam permohonan visa bagi mendapatkan kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) untuk bayi yang dilahirkan di negara itu.

Dalam e-mel dalaman yang dihantar pada Khamis dan diteliti Reuters, Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) mengarahkan pegawai penyiasat di seluruh negara memberi tumpuan kepada inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Inisiatif Pelancongan Kelahiran’.

Operasi itu bertujuan mengesan dan membanteras rangkaian yang membantu wanita asing hamil masuk ke AS untuk bersalin, sekali gus membolehkan anak mereka memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

Trump, yang kembali memegang jawatan pada Januari 2025, memulakan usaha agresif untuk mengehadkan imigresen sama ada haram atau sah di negara itu.

Pentadbirannya menggunakan isu ‘pelancongan kelahiran’ sebagai asas untuk mengehadkan pemberian kewarganegaraan automatik kepada individu yang lahir di AS.

“Pelancongan kelahiran tanpa kawalan membawa kos besar kepada pembayar cukai dan mengancam keselamatan negara kita,” kata jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly, dalam satu kenyataan, sambil menambah kebanyakan negara tidak memberikan kewarganegaraan automatik semasa lahir.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, ICE dan Jabatan Kehakiman AS tidak memberi maklum balas berhubung isu tersebut.

Tiada undang-undang di AS yang secara jelas melarang ‘pelancongan kelahiran’, namun peraturan persekutuan yang dilaksanakan pada 2020 semasa penggal pertama Trump melarang penggunaan visa pelancong dan perniagaan sementara bagi tujuan mendapatkan kewarganegaraan AS untuk bayi baru lahir.

Individu yang terlibat dalam skim ‘pelancongan kelahiran’ boleh didakwa atas kesalahan penipuan atau jenayah berkaitan.

Tiada angka rasmi merekodkan jumlah warga asing yang datang ke AS untuk melahirkan anak bagi mendapatkan kewarganegaraan bayi mereka, termasuk kos ditanggung oleh pembayar cukai.- AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×