KAJANG: Seramai 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilantik Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk utama negara.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kumpulan pertama itu sudah berjaya melalui proses saringan meliputi ujian psikometrik, fizikal dan sesi temuduga.
Beliau berkata, ia membuktikkan bahawa prinsip meritokrasi dan kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelantikan yang dibuat.
“Veteran ATM bukan sekadar bekas anggota keselamatan. Mereka adalah simbol disiplin, ketahanan, kesetiaan dan keberanian.
“Pengalaman luas yang dimiliki di bidang pertahanan apabila digembleng peranan bersama di pintu-pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang akan membentuk satu barisan hadapan yang lebih mantap, berintegriti dan berwibawa dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Peluncuran Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran ATM) 2026 di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pelantikan berkenaan bukan penamat kepada perkhidmatan veteran, sebaliknya kesinambungan perjuangan dalam bentuk baharu.
“Daripada medan operasi ketenteraan kepada medan penguatkuasaan sempadan, daripada mempertahankan negara kepada memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara, ini adalah satu kesinambungan tanggungjawab yang amat bermakna,” katanya.
Tambah Mohd Shuhaily, beliau yakin dan percaya dengan semangat juang yang tinggi, disiplin yang utuh serta pengalaman luas para veteran ATM.
“Tuan-Tuan yang dilantik akan mampu menggalas amanah ini dengan penuh,” katanya. – UTUSAN










