UMNO dijangka terima 'gelombang' kemasukan bekas ahli

UMNO dijangka terima ‘gelombang’ kemasukan bekas ahli

Rayuan UMNO
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Gelombang baharu kemasukan tokoh-tokoh pemimpin Melayu ke dalam UMNO dijangka berlaku susulan keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuka kembali pintu tanpa syarat kepada mana-mana pihak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendekatan diambil Ahmad Zahid itu turut membabitkan pemimpin UMNO yang diambil tindakan termasuk digantung atau dibuang sebelum ini.

Katanya, beliau yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Agung UMNO bertanggungjawab menghantar surat memaklumkan keputusan parti kepada individu-individu terlibat.

“Antaranya termasuklah Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin yang dikenakan tindakan atas pelbagai sebab.

“Saya setuju sekiranya mereka dijemput kembali menyertai UMNO dengan pendekatan forgive and forget, saling memaafkan serta melupakan perkara lalu untuk membuka lembaran baharu dalam parti,” katanya kepada pemberita ketika program Moreh Pemuda UMNO Bahagian Pontian di sini malam tadi.

Tambah Timbalan Menteri Kerja Raya itu, beberapa individu telah menghantar surat permohonan untuk kembali ke dalam parti yang pernah menjadi platform politik mereka sebelum ini.

“Surat itu mudah sahaja, sekeping sahaja memadai untuk menyatakan hasrat kembali sebagai ahli UMNO.

“Situasi ini mengimbau peristiwa penyatuan semula UMNO pada 1996 apabila parti Semangat 46 dibubarkan Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ahlinya diterima semula beramai-ramai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Peristiwa itu menjadi detik penting dalam sejarah UMNO dan langkah membuka semula pintu kepada bekas ahli pada masa ini dilihat satu lagi langkah besar untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, langkah tersebut juga selari dengan konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan Ahmad Zahid baru-baru ini.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN