Ukraine berisiko kekurangan bekalan peluru berpandu Patriot

Ukraine berisiko kekurangan bekalan peluru berpandu Patriot

ASKAR Ukraine menembak sebuah MRLS BM-21 'Grad' ke arah kawasan Russia di lokasi yang dirahsiakan berhampiran Chasiv Yar, wilayah Donetsk.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine mungkin berdepan kelemahan dalam sistem pertahanan udaranya apabila simpanan peluru berpandu Patriot semakin berkurangan akibat penggunaan besar-besaran dalam perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Peluru berpandu Patriot merupakan senjata paling berharga bagi Kyiv dalam menangkis serangan berterusan Russia.

Iran melancarkan lebih daripada 2,100 dron serangan dan sekurang-kurangnya 688 peluru berpandu balistik sejak perang bermula, menurut analisis Bloomberg.

Situasi itu mendorong AS dan sekutunya melancarkan lebih 1,000 pesawat pemintas PAC-3, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan di seluruh dunia dan menimbulkan kebimbangan sama ada ia dapat diganti dengan cepat.

Bagi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, ini bermakna sekutu negaranya, termasuk AS, mungkin akan menggunakan peluru berpandu mereka dengan lebih berhati-hati.

Pemimpin Ukraine itu berkata, Kyiv menerima sejumlah 600 peluru berpandu PAC-3 sejak Russia menyerang negaranya empat tahun lepas, kurang daripada jumlah yang dilancarkan di rantau Teluk dalam tempoh 11 hari lalu.

Ukraine menetapkan sistem pertahanan Patriotnya untuk menangki peluru berpandu balistik dan jelajah yang lebih canggih, seperti Kinzhals serta Zircons hipersonik, senjata didakwa Russia tidak dapat dipintas.

Pihak berkuasa di Kyiv terkejut apabila negara Teluk menggunakan PAC-3 untuk menembak jatuh dron kos rendah.

Zelensky menekankan kepentingan menggantikan bekalan peluru berpandu bagi sistem sedia ada, dengan berkata beliau ‘tidak pernah bermimpi’ untuk memperoleh pelancar Patriot baharu.

Kerajaan Jerman pada 10 Mac memaklumkan, ia akan bekerjasama dengan beberapa sekutu Eropah untuk menyediakan 35 peluru pemintas tambahan kepada Ukraine.

Sejak Presiden AS, Donald Trump kembali ke Rumah Putih tahun lalu, Eropah mengambil alih sebahagian besar pembiayaan bantuan ketenteraan kepada Kyiv.

Namun, kebanyakan senjata canggih dibeli dari AS melalui program yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menarik lebih AS$4 bilion (RM15.6 bilion) dalam ikrar pembiayaan.

Beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran dalam mesyuarat tertutup di Brussels minggu lalu mengenai kekurangan peluru pemintas di peringkat global, lapor Bloomberg News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN