JERANTUT: Penduduk tertanya-tanya dan kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan kios jualan di lokasi kawasan yang tidak strategik lantas ia menjadi gajah putih di Taman Ibol Jaya, dekat sini.
Seorang penduduk, Zakaria Yazin, 59, berkata, sebanyak empat buah kios ditempatkan di situ dua tahun lalu tetapi tidak ada peniaga memanfaatkannya untuk menjual makanan.
“Keadaan kios ini ibarat projek gajah putih dengan struktur dinding, lantai dan ruang dalamnya kotor dan dimakan karat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata Zakaria, kalangan penduduk di situ menyifatkan kedudukan kios itu suatu pembaziran sedangkan PBT boleh memindahkan gerai kecil itu di tapak pekan sehari Persimpangan Ibul Tunggal memandangkan ramai peniaga yang menjual makanan di bawah pokok dan tepi jalan raya di situ.
Seorang lagi penduduk, Anuar Rahman, 62, berkata, kios berkenaan sepatutnya diletakkan di kawasan strategik di Persimpangan Ibul Tunggal, berdekatan taman tersebut untuk kemudahan peniaga makanan selain lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai.
“Saya lihat ramai peniaga kecil makanan seperti penjual kuih-muih, pisang goreng dan air balang masih berniaga dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya mendirikan gerai di tepi jalan atau di bawah pokok.
“Saya yakin mereka mampu membayar sewa bulanan kios sekiranya disediakan. Sepatutnya PBT menawarkan kemudahan kios kepada mereka kerana ia bukan sahaja lebih selesa, malah lebih bersih dan teratur,” katanya. – UTUSAN










