TUMPAT: Aidilfitri yang sepatutnya diraikan bersama keluarga tercinta bertukar menjadi rutin penugasan buat Sarjan Mohd. Khairun Naim Ishak apabila sudah sedekad beliau menyambut 1 Syawal di sempadan negara.
Malah, tahun ini menjadi kali ke-10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa itu tidak dapat beraya bersama isteri dan anak-anak.
“Aidilfitri bukan lagi tentang pagi raya bersama keluarga, sebaliknya sudah menjadi rutin bertugas yang sebati dalam diri saya.
“Sebagai anggota beruniform, saya faham tanggungjawab ini, namun tipulah kalau tidak rasa sedih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, keluarga terutama isteri dan anak-anak sudah memahami situasi tersebut dan akan menyambut Aidilfitri di Besut, Terengganu tanpa kehadirannya.
Katanya, walaupun terpaksa berjauhan pada 1 Syawal, dia tetap bersyukur kerana masih berpeluang menyambung sambutan Aidilfitri pada hari keenam selepas tamat penugasan.
“Saya masih dapat merasai suasana raya walaupun lewat sedikit. Itu pun sudah cukup bermakna,” katanya.
Sementara itu, Inspektor Afifah Yacob turut berkongsi pengalaman pertama menyambut Aidilfitri jauh dari keluarga sejak menyertai pasukan itu pada 2021.
“Sudah tentu saya rindu keluarga, tetapi saya reda. Ini amanah yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Komander PGA Briged Tenggara, Asisten Komisioner Mohd. Hazazi Othman berkata, seramai 360 anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa ditugaskan mengawal keselamatan sempadan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
“Walaupun musim perayaan semakin hampir, komitmen mereka tidak pernah luntur. Mereka terus setia menjalankan amanah demi keselamatan negara,” katanya.
Penugasan selama 34 hari itu menyaksikan anggota PGA bergilir-gilir mengawal sempadan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara, walaupun terpaksa mengorbankan detik paling bermakna bersama keluarga pada pagi Syawal. – UTUSAN










