WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggunakan peluru bernilai AS$5.6 bilion (RM21.9 bilion) dalam tempoh dua hari pertama serangan terhadap Iran.
Anggaran itu terkandung dalam laporan yang diserahkan pentadbiran Presiden Donald Trump kepada jawatankuasa Kongres AS, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut semalam.
Ahli Kongres, yang mungkin perlu meluluskan pembiayaan tambahan untuk perang itu dalam masa terdekat, menyuarakan kebimbangan konflik tersebut boleh menjejaskan stok ketenteraan AS ketika industri pertahanan negara bergelut bagi memenuhi permintaan.
6 Mac lalu, Trump dilaporkan bertemu eksekutif daripada tujuh syarikat kontraktor pertahanan ketika Pentagon berusaha menambah semula bekalan persenjataan.
Pentadbiran Trump setakat ini belum mengemukakan penilaian awam mengenai kos konflik yang dilancarkan pada 28 Februari bersama sekutunya, Israel, terhadap Iran.
Ahli Kongres AS pula terus mendesak maklumat lanjut, termasuk sesi keterangan awam daripada pegawai kerajaan mengenai beberapa isu, khususnya impak konflik tersebut boleh menjejaskan kesiapsiagaan ketenteraan AS untuk mempertahankan negara.
Beberapa pembantu Kongres berkata, mereka menjangkakan Rumah Putih akan mengemukakan permohonan kepada Kongres tidak lama lagi bagi mendapatkan peruntukan tambahan bagi membiayai peperangan itu.
Sebahagian pegawai berkata, permohonan tersebut mungkin mencecah AS$50 bilion (RM196 bilion), namun ada juga berpendapat anggaran itu masih terlalu rendah.- AGENSI










