Yayasan LTAT sumbang RM88,600

Yayasan LTAT sumbang RM88,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) menyalurkan sumbangan berjumlah RM88,600 kepada 294 penerima menerusi Program Ziarah Mahabbah Ramadan yang dilaksanakan bersama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).

Yayasan LTAT berkata, ia bagi memastikan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka terus terpelihara.

Katanya, asihan itu juga mencerminkan komitmen berterusan Yayasan dalam memperkukuh agenda kebajikan warga ATM, khususnya mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan ketika berdepan situasi sukar.

“Inisiatif ini memberi manfaat kepada 294 penerima terdiri daripada anggota tentera atau waris yang menghidap pesakit kronik, Orang Kurang Upaya (OKU) serta waris anggota ATM yang telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, program itu sebahagian usaha Yayasan menyantuni warga ATM yang menerima rawatan di hospital selain menyalurkan bantuan kebajikan dan sokongan moral sepanjang Ramadan.

“Yayasan LTAT akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memberi manfaat kepada anggota ATM dan keluarga mereka demi memperkukuh kesejahteraan komuniti pertahanan negara,” katanya.

Sementara itu, seramai 30 pesakit di Wad Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur menerima sumbangan pihak Yayasan menerusi pelaksanaan Program Ziarah Mahabbah Ramadan 1447H/2026M bersama Bakat, semalam.

Sesi ziarah turut disertai isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Mohd. Nizar Sudin.

Turut hadir, Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Datin Siti Juana Ibrahim; Pengerusi Jemaah Bakat Darat, Datin Noor Ainy Ali; Pengerusi Jemaah Bakat Laut, Zamzelina Ahmad dan Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Jeneral Datuk Mohamed Hatta Manis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN