ALOR SETAR: Dana Perikatan Nasional (PN) terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan terus disumbangkan oleh ahli parti gabungan itu sebagai mengikut jejak Pas selama ini.
Bendahari PN yang baharu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, konsep itu juga menjadi sumber kekuatan Pas sebelum ini sehingga memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya termasuk di negeri-negeri.
“Kita akan menggunakan konsep derma lagilah, macam mana Pas hidup macam itulah PN hidup. Jangan dok harap bendahari cari duit berkajang-kajang untuk semua, tak adalah.
“Kita tidak akan pakai sistem itu, sistem yang merosakkan negara ini ialah apabila parti curi duit kerajaan dan belanja untuk politik,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mengulas tentang pelantikan jawatan baharunya sebagai Bendahari PN ekoran rombakan kepimpinan baharu gabungan itu baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang masih memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, sumber utama dana parti seharusnya datang daripada ahli yang terkumpul secara berterusan sehingga menjelang PRU kelak.
“Semua duit itu sebenarnya datang daripada ahli, ada dalam poket ahli. Jadi dana itu terkumpul dengan sendiri, maka mailah derma dekat PN sorang sikit rakan-rakan kita.
“Kita nak menguruskan kewangan dengan kaedah lebih baik, duit parti ini adalah duit daripada orang ramai dan selama saya mengepalai jentera pilihan raya saya dapat urus dengan baik walaupun dalam keadaan serba kekurangan, jentera pilihan raya dapat bergerak dalam dana yang sangat terhad,” katanya.
Tambah beliau, PN juga akan menggunakan pendekatan lebih sofistikated berbanding cara Pas itu ekoran kos sebenar pilihan raya dijangka jauh lebih tinggi berbanding anggaran lama.
Katanya, walaupun perbelanjaan tinggi, banyak kos dapat dikurangkan kerana gerak kerja dijalankan secara sukarela oleh ahli berbanding jika mengupah pihak lain termasuk kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja tertentu.
Beliau turut menekankan bahawa amalan bergantung kepada dana kerajaan bagi membiayai parti politik perlu dihentikan demi memastikan politik yang bersih. – UTUSAN











