Pinda atau gubal peruntukan undang-undang baharu tangani isu 3R 

Pinda atau gubal peruntukan undang-undang baharu tangani isu 3R 

5G Selangor
FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menangani isu berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dengan lebih baik pada masa hadapan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk mempertimbangkan pindaan atau penggubalan peruntukan baharu berkaitan isu berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas beberapa isu berkait isu 3R seperti yang dilaporkan dalam media dibangkitkan dalam mesyuarat itu.

“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan tegas (berkaitan isu 3R) perlu diambil sekarang oleh pihak berwajib termasuk Peguam Negara.

“Sekiranya terdapat sebarang kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang memungkinkan tindakan tertentu dilakukan walaupun langkah penguatkuasaan awal termasuk penahanan dan tahanan reman tidak diendahkan oleh pihak tertentu, maka undang-undang berkenaan wajar dikaji semula,” katanya dalam sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beberapa anggota Jemaah Menteri semalam dilaporkan berkata akan membangkitkan isu provokasi agama dan kaum pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Mereka termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Sebelum ini, Ramanan mendedahkan terdapat individu didakwa bertindak sebagai ejen provokasi perkauman dan agama.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, menyuarakan kebimbangannya mengenai isu provokasi perkauman dicetuskan pihak tertentu.

Selain itu, Steven Sim turut membangkitkan isu ketegangan kaum yang heboh sejak kebelakangan ini kerana sudah tiba masanya semua bentuk keganasan, provokasi agama dan kaum dihentikan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN