KEBELAKANGAN ini ramai betul hendak jadi ‘kacang hantu 3R’ dalam media sosial. Macam sudah tiada kerja lain. Tidak habis-habis menghina bangsa, mencaci agama, dan memperlekeh institusi raja.
“Pilihan raya sudah dekatlah ini. Mulalah gerakan memainkan isu 3R untuk mencari sokongan awal,” kata seorang kawan yang bukanlah pakar atau penganalisis politik pun.
Tetapi itulah, zaman sekarang ini sesiapa pun boleh jadi penganalisis politik. Tulis panjang berjela-jela dalam media sosial dan mendakwa dirinya penganalisis politik. Walhal dia memihak pada parti yang dia sokong saja.
Berbalik pasal cerita perbuatan kacang hantu 3R ini, yang peliknya apabila sudah tular dan dikesan pihak berkuasa, mulalah buat plot twist.
Macam selalu kita lihatlah. Sendiri buat komen perkauman di media sosial, sendiri gelabah pergi ke balai polis buat aduan kononnya akaun digodam, dan akhirnya sendiri muat naik video beri penjelasan dan meminta maaf.
Kes yang tular melibatkan seorang peniaga yang mengutuk orang Melayu di Pahang, tidak silap saya adalah yang terbaharu. Amat tidak masuk akal juga, si pelaku yang mengharapkan sokongan perniagaan daripada masyarakat sekeliling yang merupakan kaum majoriti dia kutuk itu, tetapi pada masa sama memahat kebencian yang tebal terhadap bangsa itu.
Ada soalan di sini – sudahkah dia disiasat polis?
Perbuatan-perbuatan sebegini jelas sekali melangkaui sempadan akal yang sihat. Sedangkan kalau kita perhatikan rata-rata rakyat di negara ini – Melayu, Cina dan India tidak begitu. Mereka hidup bersatu dan harmoni. Contohnya, kalau ada yang susah, pertolongan pasti dihulur tanpa mengira bangsa dan agama. Yang kecoh-kecoh hanyalah pemimpin politik dan kacang-kacang hantu 3R ini dalam media sosial.
Dari mana datangnya keberanian si kacang hantu 3R yang luar biasa ini? Adakah mereka ini memang dilahirkan di luar kebijaksanaan, atau ada ‘dalang’ di belakang tabir yang mencucuk jarum?
Kenapa asyik mahu menyentuh sensitiviti 3R sedangkan banyak lagi isu negara yang lebih penting untuk kita bahaskan bersama? Kenapa lebih cenderung menulis hal-hal kekurangan dan kelebihan sesuatu kaum dan agama?
Adakah ini didorong oleh sekadar mahu meraih populariti murahan, atau memang tidak reti bersyukur dan tidak boleh duduk diam hidup dalam negara majmuk seperti Malaysia?
Persoalan paling besar, bukankah negara kita sudah ada undang-undang yang cukup padu untuk menangkap dan menghukum pelaku 3R? Adakah perundangan kita ini tidak cukup menggerunkan?
Setakat hari ini, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunakan beberapa undang-undang sedia ada.
Antaranya Akta Hasutan 1948 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233) yang mana jika menyebarkan kandungan menyakitkan hati atau jelik boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun.
Kita juga ada Kanun Keseksaan (Seksyen 298 & 505) iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama atau berniat mencetuskan khianat awam.
Persoalannya, kalau ubatnya sudah ada, kenapa penyakitnya makin melarat?
Seorang pengamal undang-undang, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, keseluruhan undang-undang yang ada sebenarnya sudah mencukupi. Bagaimanapun, isunya adalah pelaksanaan yang dilihat oleh orang ramai tidak sekata dan adakalanya memilih-milih.
“Ada pelaksanaan dalam bentuk selektif dan penguatkuasaan pula mengambil masa yang agak lama untuk bertindak, terutama dalam kes berkaitan isu keagamaan.
“Apa guna pihak penguat kuasa tunggu sampai beratus laporan polis diterima sedangkan mereka sebenarnya boleh ambil tindakan segera tanpa laporan atau memadai dengan satu laporan polis sahaja?” Soal Syed Azimal kepada saya.
Beliau menambah, pendekatan siasatan juga nampak tidak seimbang. Contohnya, kalau orang kenamaan atau VIP yang ‘buat hal’, mereka dipanggil ‘mengadap’ dengan penuh tertib. Tetapi kalau bukan VIP, bersiap sedialah diserbu tengah malam dan segala peralatan komunikasi diangkut sekali.
Satu lagi kelemahan, katanya, undang-undang sedia ada bersifat punitif iaitu hanya menghukum selepas nasi menjadi bubur.
“Kita tidak lagi mempunyai undang-undang berbentuk pencegahan yang kuat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu.
“Bagus zaman Tun Dr. Mahathir dulu. Masa ada ISA orang UMNO pun sekali kena ‘sauk’ di bawah ISA kalau buat hal. Tiada pengecualian atau selektif,” katanya.
Tambahnya, undang-undang pencegahan ini sebenarnya bagus kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum api provokasi sempat merebak luas.
Perlu diingat, kelewatan bertindak boleh mencetuskan isu pembalasan (retaliation) daripada pihak yang tersinggung. Apabila satu pihak memprovokasi dan pihak satu lagi bertindak balas secara fizikal atau ekstrem di luar undang-undang, keadaan masa itu akan menjadi sangat sukar untuk dibendung.
Di negara luar, undang-undang mengekang kebencian kaum dan agama ini jauh lebih mencengkam. Ambil contoh jiran kita saja Singapura mempunyai Akta Keharmonian Agama (MRHA) dan sedang memperkasakan Akta Keharmonian Kaum. Di sana, pihak berkuasa boleh mengeluarkan perintah sekatan (Restraining Order) serta-merta kepada sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan sentimen permusuhan kaum atau agama, tanpa perlu menunggu proses mahkamah yang panjang.
Di atas kertas, nampak kita amat bertegas apabila kerajaan berulang kali mengeluarkan amaran keras bahawa tiada kompromi dalam isu 3R. Malah, dilaporkan terdapat peningkatan kes pendakwaan melibatkan hantaran jelik di media sosial.
Namun, ketegasan itu perlulah konsisten tanpa mengira warna kulit, ideologi politik, mahupun status darjat seseorang.
Sebab itu, timbul desakan orang ramai di media sosial agar pihak berkuasa cepat bertindak. Kena tukar gear. Jangan tunggu laporan polis bertimbun baru mahu ketuk pintu rumah pelaku.
Rakyat mahu melihat ‘kacang hantu’ siber ini, sama ada mereka bertopengkan akaun palsu ataupun ahli politik berjawatan besar, diheret sahaja ke muka pengadilan dengan kelajuan yang sama.
Keharmonian Malaysia ini mahal harganya. Kita tidak boleh membiarkan masa depan negara digadaikan oleh segelintir manusia yang gilakan perhatian di media sosial.
Kalau tidak suka, simpan sajalah di dalam hati. Bukan menghasut orang lain untuk turut bersetuju dengan pandangan membenci sesuatu bangsa dan agama. Ini negara majmuk yang perpaduan amat diperlukan untuk kita sama-sama hidup dalam aman dan memajukan negara ini.
Berhentilah melayan kacang hantu 3R bagaikan selebriti. Tangkap, siasat, dan hukum segera sebelum api yang mereka nyalakan membakar seluruh rumah yang kita panggil Malaysia ini!
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










