Penunggang motosikal maut dihempap pokok

Penunggang motosikal maut dihempap pokok

SEORANG penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Stadium berhampiran BBP Alor Setar. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas dihempap sebatang pokok tumbang ketika melalui Jalan Stadium berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 tengah hari, sebelum mengarahkan jentera dari BBP Alor Setar yang berada di lokasi kebakaran belukar ke tempat kejadian.

Komander Operasi, PBK I Mohd Radzi Abdul Talib berkata, sepasukan 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira pukul 1.22 tengah hari.

Menurutnya, setibanya di lokasi didapati kejadian melibatkan dua buah motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika sebatang pokok secara tiba-tiba tumbang.

“Akibat kejadian itu, seorang lelaki berusia 51 tahun yang menunggang salah sebuah motosikal telah dihempap pokok dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an yang menunggang motosikal kedua terselamat namun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut, sebelum anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi bagi mengalihkan pokok yang tumbang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN