Pokok tumbang hempap dua kenderaan di Teluk Bahang

Pokok tumbang hempap dua kenderaan di Teluk Bahang

ANGGOTA bomba membantu mengalihkan pokok tumbang yang menghempap dua buah kereta di parkir sebuah kedai makanan di Teluk Bahang, Pulau Pinang, hari ini. GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Hujan lebat dan angin kuat sejak pagi tadi menyebabkan sebatang pokok besar tumbang dan menghempap dua buah kenderaan di kawasan parkir berhampiran sebuah kedai makanan di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.31 pagi itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V bagaimanapun tidak mengalami sebarang kerosakan manakala sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Saga mengalami kerosakan pada bahagian cermin hadapan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang yang terdiri daripada enam anggota bersama sebuah jentera kemudian segera dikerah untuk ke lokasi.

“Pemeriksaan di lokasi bagaimanapun mendapati, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan. Pihak bomba kemudian terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong pokok sebelum mengalihkan halangan bagi memastikan kawasan kejadian selamat.

“Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 10.40 pagi selepas lokasi kejadian disahkan selamat,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN