Pemandu wanita nyaris terperangkap dalam banjir kilat

Pemandu wanita nyaris terperangkap dalam banjir kilat

SEORANG anggota bomba memeriksa kereta yang dipandu oleh seorang wanita selepas kenderaan itu terbabas dan tersekat di kawasan yang dinaiki air di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seorang wanita nyaris terperangkap dalam banjir kilat selepas kereta yang dipandunya terbabas dan tersekat di kawasan yang dinaiki air di Sungai Bakap di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.42 tengah hari itu, mangsa yang berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederan sebelum ketibaan anggota bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, selain insiden tersebut, pihaknya turut menerima beberapa laporan lain susulan hujan lebat dan ribut petir yang berlaku sejak awal pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian di Kampung Baru, Simpang Ampat dekat sini, 70 buah rumah telah dimasuki air dengan anggaran paras air pada ketinggian buku lali atau 0.1 meter.

BEBERAPA anggota bomba memantau keadaan paras air yang dilaporkan naik secara mendadak akibat hujan lebat di Kampung Baru, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG

“Susulan kejadian itu, PKO (Pasukan Keluaran Operasi) telah bertindak membuat pemantauan di lokasi kejadian dan mendapati tiada mangsa yang terperangkap.

“Kawasan operasi juga berada dalam keadaan terkawal dan paras air di sekitar Sungai Junjung (di Simpang Ampat) dilaporkan semakin beransur surut,” katanya yang memaklumkan, operasi seterusnya ditamatkan kira-kira pukul 12.42 tengah hari.

Sebelum itu, beberapa kawasan khususnya di Balik Pulau dan George Town khususnya di sekitar Jalan Perak dilaporkan turut mengalami masalah banjir kilat serta insiden pokok tumbang yang menghempap tiang elektrik serta menghalang lalu lintas.

Kerja-kerja pembersihan awal serta pemantauan lanjut yang dilakukan oleh pasukan bomba yang bertugas bagaimanapun berjaya memastikan keadaan di lokasi yang terlibat selamat serta terkawal.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN