Mercu tanda Selangor tertinggi di Asia Tenggara 

Mercu tanda Selangor tertinggi di Asia Tenggara 

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan upacara mengibarkan bendera negeri Selangor di tiang bendera dengan ketinggian 120 meter, tertinggi di Asia Tenggara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini, hari ini berkenan menyaksikan upacara mengibarkan bendera negeri Selangor di Dataran Selangor, Kelab Shah Alam, di tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara.

Sultan Sharafuddin bertitah, tarikh 8 Mac dipilih sebagai hari pelancaran tiang bendera itu bersempena hari keputeraan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor ke-8 yang telah mengisytiharkan Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.

“Ketika mengilhamkan pembinaannya, beta amat berharap agar tiang bendera ini akan menjadi lambang perpaduan rakyat negeri Selangor, sekaligus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri ini.

“Beta juga berkenan agar bendera Malaysia, Jalur Gemilang dikibarkan di puncak tiang bendera ini selama 10 hari semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, sebagai simbol patriotisme dan jalinan perpaduan di peringkat kebangsaan antara Selangor dengan negeri-negeri dalam Malaysia,” titah baginda pada majlis itu.

Saiz bendera negeri Selangor yang dikibarkan adalah 15 meter x 30 meter dengan berat kira-kira 50 kilogram, diperbuat daripada bahan knitted polymesh berkualiti tinggi yang direka untuk ketahanan angin dan cuaca.

Tiang bendera dengan ketinggian 120 meter itu menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records merupakan mercu tanda terbaharu bandar raya Shah Alam adalah ilham Sultan Selangor sendiri.

Upacara menaikkan bendera itu disempurnakan oleh 40 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembinaan tiang bendera yang menelan belanja sebanyak RM8.5 juta juga berjaya disiapkan enam hari lebih awal daripada jangkaan asal iaitu pada pada 7 Mac tahun ini, selepas projek bermula pada 10 September 2024.

Pembangunan Dataran Selangor itu juga menggunakan motif Bunga Tanjung Kelopak Sembilan yang merupakan identiti Selangor merujuk kepada sembilan daerah di negeri ini.

Turut hadir dalam upacara itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Sebagai perbandingan, tiang bendera Ibu Pertiwi di Kuching Sarawak sebelum ini merupakan pemegang rekod tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 99 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN