KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan menjelang suku kedua tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, MCMC ketika ini telah mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan media sosial utama seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan mekanisme paling sesuai untuk pengesahan identiti pengguna.
Beliau berkata, proses tersebut dilaksanakan melalui pendekatan regulatory sandbox atau medan uji bagi membolehkan kerajaan dan syarikat platform digital menilai kaedah terbaik sebelum dasar berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.
Di Malaysia, antara kaedah pengesahan yang boleh digunakan termasuk kad pengenalan, pasport serta sistem identiti digital negara, MyDigital ID.
“Bagaimanapun, MCMC juga terbuka untuk menerima dan mempertimbangkan kaedah lain yang lebih sesuai bagi tujuan pengesahan umur,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Serahan Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen Kulai sempena Ramadan, di sini IOI Mall, Bandar Putra Kulai di sini.
Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026 bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Dalam perkembangan sama, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sebanyak RM93,000 peruntukan disalurkan kepada 30 masjid dan 57 surau di kawasan Parlimen Kulai sebagai sumbangan sempena Ramadan tahun ini bagi membantu melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan. – UTUSAN










