PETALING JAYA: Pengendali rangkaian pawagam, MBO Cinemas Sdn. Bhd. (MBO Cinemas) mengumumkan penutupan semua cawangan selepas 23 tahun beroperasi.
MBO Cinemas memaklumkan, pengumuman itu dibuat dengan penuh rasa berat hati.
“Selepas bertahun-tahun beroperasi, MBO Cinemas kini akan menghentikan operasi sepenuhnya secara kekal. Tayangan kini berakhir.
“Ia adalah satu penghormatan besar bagi kami untuk berkhidmat kepada anda, penonton kami dan menjadi sebahagian daripada pengalaman menonton anda.
“Segala sorakan, kegembiraan, dan momen-momen emosi yang dikongsi bersama di dalam dewan panggung kami adalah sesuatu yang amat kami hargai,” katanya dalam kenyataan.
MBO Cinemas bermula beroperasi pada tahun 2003. Ia ditubuhkan sebagai rantaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia selepas Golden Screen Cinemas dan TGV Cinemas.
Mereka memulakan operasi dengan strategi fokus di kawasan luar bandar dan berkembang pesat kepada 26 hingga 27 cawangan sebelum pandemik Covid-19 menyebabkan likuidasi pada 2020.
Rangkaian pawagam berkenaan menutup cawangannya di Malaysia pada 2020 susulan pandemik COVID-19.
Ia kembali beroperasi pada tahun berikutnya di bawah pengurusan baharu selepas Golden Screen Cinemas mengambil alih asetnya.
MBO Cinemas mengendalikan lapan cawangan terletak di Selangor, Melaka, Perak dan Johor. – UTUSAN









