Lebih ramai bakal 'diseret' FIFA

Lebih ramai bakal ‘diseret’ FIFA

WINDSOR PAUL JOHN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Episod skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain dilihat masih belum memasuki episod akhir walaupun keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sudah diumumkan.

Keputusan untuk menamatkan episod itu kini berada di tangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun jika badan induk bola sepak dunia itu mahu memperluaskan siasatan terhadap peranan ejen dan perantara yang terbabit dalam kes berkenaan maka lebih ramai individu berkemungkinan diheret dalam skandal berkenaan.

Setakat ini, sumber dipercayai mendakwa bahawa FIFA sedang meneliti beberapa nama yang disebut dalam alasan keputusan (motivated decision) sebelum ini, terutama mereka yang dikaitkan dengan dokumentasi dan pengurusan kelayakan pemain.

Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam laporan penuh 64 muka surat pada November tahun lalu juga menggesa siasatan rasmi dijalankan terhadap peranan beberapa ejen yang dipercayai memudahkan komunikasi serta penyediaan dokumen antara pemain dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata FIFA mempunyai kuasa untuk meneruskan siasatan lanjut jika individu yang dikaitkan dengan kes itu didapati melanggar peraturan.

“Jika dilihat, terdapat beberapa nama disebut dalam ‘motivated decision’ FIFA dan mereka mungkin berdepan tindakan lanjut menerusi siasatan susulan.

“Jawatankuasa Tatatertib FIFA mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mereka boleh meneruskan siasatan sehingga mereka mengumumkan bahawa kes berkenaan ditutup.

“FIFA adalah badan yang dikawal selia dan peraturan inilah yang membolehkan FIFA menguruskan persatuan anggota. Ejen-ejen didaftarkan di bawah FIFA dan apabila berlaku salah laku atau pelanggaran peraturan, FIFA akan menyiasat,” katanya.

CAS dalam kenyataan pada Khamis lalu menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.

Ia menyaksikan hukuman FIFA yang mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas badan induk bola sepak negara itu serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit kekal.

FAM juga dijangka akan menerima hukuman daripada AFC susulan daripada kes itu terutama membabitkan aksi Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN