FIFA berjimat, potong bajet operasi RM391 Juta

FIFA berjimat, potong bajet operasi RM391 Juta

FIFA - afp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah memotong lebih AS$100 juta (RM391 juta) daripada bajet operasi bagi Piala Dunia di Amerika Utara pada musim panas ini, lapor The Athletic.

Dalam laporan tahunan 2024, bajet unjuran FIFA bagi kitaran 2023-2026 memperuntukkan AS$1.12 bilion (RM4.38 bilion) untuk perbelanjaan operasi daripada jumlah keseluruhan bajet AS$3.756 bilion (RM14.69 bilion).

Daripada jumlah AS$1.12 bilion itu, AS$280 juta (RM1.09 bilion) diperuntukkan untuk perkhidmatan teknikal, AS$159 juta (RM621.69 juta) bagi pengangkutan acara, AS$145 juta (RM566.95 juta) untuk keselamatan dan sekuriti serta AS$79 juta (RM308.89 juta) bagi pengurusan tetamu.

Empat sumber berbeza memberitahu The Athletic bahawa kakitangan FIFA di ibu pejabatnya di Miami, Amerika Syarikat (AS) merasai tekanan selepas dimaklumkan mengenai pemotongan bajet operasi termasuk dalam aspek keselamatan, logistik, sekuriti dan aksesibiliti yang melebihi RM391 juta.

Seorang jurucakap FIFA mengeluarkan kenyataan kepada The Athletic bagi laporan yang diterbitkan kelmarin.

“FIFA sentiasa menilai kecekapan bajet bagi memastikan kos dapat dikawal supaya sebanyak mungkin hasil boleh dilaburkan dalam pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

“Perkara ini tidak sepatutnya mengejutkan sesiapa kerana semakan bajet adalah amalan biasa sebelum setiap kejohanan dan acara kami,” menurut kenyataan itu.

Piala Dunia yang menampilkan 48 negara akan berlangsung di 16 venue di seluruh AS, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Kongres AS memperuntukkan AS$625 juta (RM2.44 bilion) daripada kerajaan persekutuan untuk membantu venue menampung kos keselamatan, namun dana itu masih belum diagihkan susulan penutupan separa kerajaan yang menjejaskan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Kenyataan FIFA turut menjawab kebimbangan mengenai aspek keselamatan dan sekuriti.

“FIFA tidak akan sesekali berkompromi terhadap operasi atau aspek penting seperti keselamatan dan sekuriti bagi kejohanan terbesar kami dan sebarang dakwaan sebaliknya adalah tidak benar serta mengelirukan.

“FIFA melaburkan sumber yang besar bagi memastikan pengalaman terbaik. FIFA menugaskan kira-kira 5,000 tenaga kerja bagi memastikan operasi berjalan lancar,” menurut kenyataan itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN