FIFA sahkan Iran kekal beraksi di AS

FIFA sahkan Iran kekal beraksi di AS

SKUAD Kebangsaan Iran-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Iran kekal beraksi di Amerika Syarikat (AS) seperti dijadualkan ketika pemimpin bola sepak dunia berhimpun pada Kongres FIFA ke-76.

Perkara itu disahkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino yang sebelum ini beberapa kali menyatakan Iran akan tetap bertanding dan beliau sekali lagi mengulangi pendirian itu ketika ucapan pembukaan kongres berkenaan.

Penyertaan Iran pada Piala Dunia 2026 di AS, Mexico dan Kanada sebelum ini diselubungi ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat sejak Februari lalu.

“Biar saya jelaskan dari awal Iran akan menyertai Piala Dunia FIFA 2026. Sudah tentu, Iran akan bermain di Amerika Syarikat,” kata Infantino.

Kenyataan itu turut mendapat sokongan Presiden AS, Donald Trump yang berkata, beliau tiada masalah dengan penyertaan Iran.

“Jika Infantino kata begitu, saya setuju. Biarkan mereka bermain,” katanya.

Sebelum ini, Iran mencadangkan supaya perlawanan mereka di peringkat kumpulan dipindahkan ke Mexico, namun cadangan itu ditolak FIFA.

Malah timbul cadangan daripada utusan khas AS kelahiran Itali, Paolo Zampolli supaya Itali menggantikan Iran, namun kerajaan AS tidak menerima cadangan tersebut.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut memberi jaminan pemain Iran dialu-alukan menyertai kejohanan itu.

Ketegangan berhubung penyertaan Iran turut tercetus menjelang kongres apabila delegasi negara itu menjadi satu-satunya yang tidak hadir daripada 211 ahli.

Pegawai Persekutuan Bolasepak Iran dilaporkan meninggalkan Kanada selepas berdepan isu dengan pegawai imigresen di Toronto sebelum meneruskan perjalanan ke Vancouver.

Media Iran melaporkan presiden badan itu, Mehdi Taj bersama dua pegawai pulang ke tanah air selepas didakwa dilayan tidak wajar oleh pihak berkuasa Kanada.

Kanada sebelum ini mengklasifikasikan Kor Pengawal Revolusi Iran sebagai organisasi pengganas pada 2024, sekali gus menyebabkan individu berkaitan tidak dibenarkan memasuki negara itu.

Iran, yang dijadual berpangkalan di Tucson, Arizona sepanjang kejohanan, akan membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand pada 16 Jun, Belgium (22) dan Mesir (27) dalam Kumpulan G.– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN