32 juta orang jatuh miskin akibat perang Iran - PBB - Utusan Malaysia

32 juta orang jatuh miskin akibat perang Iran – PBB

SEORANG lelaki membawa pek bantuan biskut yang diedarkan Program Makanan Sedunia PBB (WFP) kepada keluarga pelarian di daerah Laja Mangal, wilayah Paktia, Afghanistan. - AF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, yang menyebabkan harga tenaga dan baja melonjak, berpotensi menolak lebih 30 juta orang terjerumus ke  dalam kemiskinan.

Perkara itu didedahkan Ketua Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Alexander De Croo di Paris semalam.

“Ia adalah pembangunan yang semakin mundur. Berpuluh tahun diperlukan untuk membina masyarakat yang stabil dan membangunkan ekonomi tempatan, tetapi hanya beberapa minggu peperangan sudah cukup untuk memusnahkannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menjalankan kajian selepas enam minggu peperangan dan menganggarkan walaupun konflik berakhir pada ketika itu, seramai 32 juta orang akan terjerumus ke dalam keadaan tidak menentu di 160 negara,”  kata De Croo di luar mesyuarat pembangunan Kumpulan 7 (G7) di Paris.

Peperangan itu menyebabkan penutupan Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima aliran minyak dan gas asli cecair dunia dalam keadaan normal.

Negara-negara Teluk juga merupakan pembekal penting produk minyak dan bahan mentah untuk pengeluaran baja.

Kekurangan bekalan dan harga yang tinggi turut memaksa negara-negara lain seperti di Afrika serta Asia mengambil pelbagai langkah termasuk catuan bahan api selain memendekkan minggu bekerja bagi mengurangkan penggunaan. 

Agensi PBB itu menyatakan perang ini akan memberi kesan besar kepada negara-negara di Afrika Sub-Sahara. Ia turut memberi kesan kepada beberapa negara di Asia seperti Bangladesh dan Kemboja. Negara-negara kepulauan membangun juga dijangka terjejas teruk.

Menurut De Croo yang juga bekas Perdana Menteri Belgium, kos tenaga yang tinggi dan kekurangan baja akan memberi impak besar dalam beberapa bulan akan datang terhadap rakyat di negara-negara tersebut.

Beliau turut memberi amaran tentang kemungkinan ketidakstabilan politik dan penurunan kiriman wang dari luar negara. Ini kerana ramai pekerja di negara Teluk menghantar wang kepada keluarga mereka di tanah air.

Bagi mengelakkan kemiskinan terus meningkat, UNDP menganggarkan sekitar AS$6 bilion (RM23.81 bilion) diperlukan dalam bentuk subsidi untuk membantu golongan paling terdedah menghadapi kenaikan harga makanan dan tenaga.

De Croo berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah pun dijalankan bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Anda mungkin berkata AS$6 bilion itu besar tetapi perang ini menelan kos AS$9 bilion (RM35.72 bilion) seminggu,” katanya.

Krisis ini berlaku ketika bantuan pembangunan berada pada tahap terendah dalam sejarah, selepas merosot lebih 23 peratus tahun lalu, terutamanya akibat pengurangan oleh penderma utama yang diketuai AS. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini