AS kalah memalukan kepada Iran - Ayatollah Mojtaba - Utusan Malaysia

AS kalah memalukan kepada Iran – Ayatollah Mojtaba

AYATOLLAH MOJTABA KHAMENEI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei berkata dalam satu mesej bertulis pada Khamis bahawa Amerika Syarikat (AS) telah tewas dalam peperangannya dengan republik Islam itu.

Beliau berkata demikian ketika kepimpinan Iran terus menentang amaran Presiden Donald Trump mengenai sekatan berpanjangan.

“Hari ini (semalam), dua bulan selepas penempatan ketenteraan terbesar selain pencerobohan oleh pembuli dunia di rantau ini dan kekalahan memalukan Amerika dalam rancangannya, satu babak baharu sedang terbuka bagi Teluk Parsi serta Selat Hormuz,” kata Khamenei dalam mesej yang dibacakan di televisyen Iran.

Mesej daripada Khamenei, yang masih belum muncul di khalayak ramai sejak pelantikannya pada 9 Mac sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran, disampaikan sempena sambutan tahunan Hari Teluk Parsi di negara tersebut.

Khamenei menjadi pemimpin tertinggi selepas AS dan Israel melancarkan kempen serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari yang membunuh bapanya yang juga bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Minggu lalu, The New York Times yang memetik beberapa pegawai Iran tanpa nama melaporkan bahawa beliau cedera parah dalam serangan itu tetapi masih tajam dari segi pemikiran.

Dalam mesejnya pada Khamis, beliau berkata, beberapa pangkalan tentera AS di rantau itu tidak mempunyai kemampuan untuk menjamin keselamatan sendiri, apatah lagi memberi harapan keselamatan kepada sekutu mereka.

Beliau memuji apa disifatkannya sebagai kerangka undang-undang dan pengurusan baharu Iran terhadap Selat Hormuz yang strategik, satu laluan utama tenaga dunia, sebagai cara membawa keselesaan serta kemajuan kepada negara-negara di rantau Asia Barat.

Selat itu menjadi titik ketegangan utama sejak tercetusnya perang di Asia Barat  dengan Iran hanya membenarkan sejumlah kecil kapal melalui laluan tersebut.

Minggu lalu, seorang ahli parlimen kanan berkata, Teheran telah menerima hasil pertama daripada bayaran tol yang dikenakan ke atas selat itu.

Khamenei meramalkan masa depan yang cerah bagi rantau Teluk tanpa Amerika dan mengecam apa yang disebutnya sebagai pihak luar dengan berkata, mereka yang campur tangan dari ribuan kilometer jauhnya tidak mempunyai tempat kecuali di dasar perairannya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×