PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan penambahan 26 perjalanan tren sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi dari 17 hingga 29 Mac ini melibatkan 18 tren elektrik (ETS) dan lapan tren EMUPlus susulan tiket sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.
Katanya, sepanjang tempoh operasi tersebut, tren tambahan berkenaan mampu menyediakan 8,118 tempat duduk sehari menjadikan keseluruhan 105,534 tempat duduk ditawarkan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 yang merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata harian 21,978 tempat duduk.
“Sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan akan mula dijual pada 1 Mac 2026 (Ahad) jam 12 tengah hari, manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Bagi perkhidmatan ETS, tambahan itu melibatkan laluan pergi dan balik JB Sentral–KL Sentral, Ipoh–KL Sentral, Butterworth–KL Sentral serta Padang Besar–KL Sentral manakala EMUPlus membabitkan laluan Ipoh–KL Sentral.
Dalam pada itu, KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur dan Utara bagi memberi lebih pilihan perjalanan kepada penumpang.
Katanya, bagi edisi Pantai Timur, tren khas itu akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral–Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat–KL Sentral dengan 792 tiket ditawarkan bermula RM80 termasuk kemudahan koc tempat tidur.
Bagi edisi Utara pula, perkhidmatan melibatkan laluan KL Sentral–Padang Besar–KL Sentral akan beroperasi pada 17, 18, 22 dan 23 Mac dengan 1,200 tiket ditawarkan pada kadar RM70 sehala.
“Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan KTMB dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati perjalanan yang selesa, selamat dan efisien pada musim perayaan, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyokong mobiliti awam negara.
“KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket seawal mungkin bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir,” katanya.
Tiket boleh dibeli secara tanpa tunai menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios di stesen terpilih.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari media sosial rasmi KTMB untuk perkembangan terkini. – UTUSAN










