KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) membantah penubuhan anak syarikat baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tenang Capital Berhad (TCB) kerana didakwa punca kepada pengabaian kebajikan pekerja syarikat itu.
Presiden RUM, Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, penubuhan TCB telah dilaksanakan secara senyap oleh pihak pengurusan KTMB pada Julai tahun lepas tanpa pengetahuan Kesatuan.
Beliau berkata, fungsi asal penubuhan TCB adalah untuk menguruskan perniagaan bukan teras (non co-business) seperti perkhidmatan Tren Sewa Khas (Charter Train), pengiklanan, Myra, hartanah, cenderahati dan perkhidmatan tambah nilai atas tren (on-board value-add services).
“Namun, penubuhan anak syarikat ini dilihat menghakis kepentingan KTMB dan pekerja. Kita lihat dari sudut kontranya akan wujud ‘surplus’ (lebihan) kakitangan KTMB,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kata Muhammad Faizal, kesan daripada penubuhan TCB sudah mula dirasakan oleh pekerja apabila pelarasan gaji yang biasanya mencatatkan kenaikan 10 hingga 13 peratus merosot kepada hanya tiga hingga lima peratus bagi tempoh tiga tahun sekali.
“Kami bimbang akan berlaku lebihan kakitangan ataupun surplus melibatkan kira-kira 1,000 hingga 3,000 pekerja apabila fungsi utama KTMB diambil alih pihak ketiga atau anak syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kereta api.
“Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan moral pekerja tetapi juga boleh membawa kepada langkah pemberhentian kerja (retrenchment) pada masa hadapan,” dakwanya.
Tambah Muhammad Faizal, bantahan dibuat atas beberapa perkara yang dilihat tidak adil seperti TCB mengambil alih perniagaan sedia ada, sekali gus mendapat dana daripada KTMB.
“Penubuhan ini berdasarkan keputusan Ahli Lembaga Pengarah KTMB yang telah meluluskan TCB ditubuhkan dengan pembiayaan sepenuhnya menggunakan dana kewangan KTMB.
“Ini juga menjadi persoalan kerana TCB yang baru wujud tiada kepakaran dan tiada dana, selain kita lihat impaknya adalah mencuri hasil atau dana daripada KTMB serta menambah beban kepada KTMB,” dakwanya lagi.
Beliau turut memaklumkan pihak kesatuan telah mengemukan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 Oktober 2025 bagi menyiasat prosedur penubuhan syarikat tersebut dan kesahihan tadbir urus kewangannya.
Dalam pada itu, RUM turut memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk meneliti semula keperluan mewujudkan ayak syarikat KTMB itu.
“Kesatuan tidak akan berdiam diri sekiranya sebarang tindakan diambil yang menjejaskan hak, kebajikan serta masa depan pekerja KTMB, sekali gus menjejaskan produktiviti syarikat KTMB.
Menurut Muhammad Faizal lagi, pihak KTMB sehingga hari ini masih mengambil sikap berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab segala persoalan yang diajukan. – UTUSAN










