KVDT2 dijangka siap 2027, dua tahun lebih awal

KVDT2 dijangka siap 2027, dua tahun lebih awal

AFZAR Zakariya pada sidang akhbar berkenaan Projek Klang Valley Double Track Phase 2 (KVDT2) melibatkan laluan di antara Stesen Bandar Tasik Selatan (BTS) hingga Stesen Kajang. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Projek menaik taraf infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dijangka siap dua tahun lebih awal iaitu pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, mengikut perancangan asal, projek sepanjang 265 kilometer menghubungkan laluan Abdullah Hukum- Pelabuhan Klang serta Salak Selatan-Seremban itu sepatutnya siap pada tahun 2029.

Katanya, untuk mempercepatkan pelaksanaan projek, kerja-kerja pembinaan kini melibatkan penutupan landasan naik (upline) di sebelah kanan.

Manakala perkhidmatan Komuter, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan kargo terpaksa berkongsi satu landasan sahaja (downline) di sebelah kiri buat sementara waktu.

Beliau berkata, KTMB juga terpaksa mengurangkan jumlah perkhidmatan daripada 260 sehari sebelum ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja binaan, terutama ketika tempoh penutupan penuh landasan bermula pukul 9.30 malam hingga 5.30 pagi.

“Fokus kami adalah penumpang yang bekerja di Kuala Lumpur. Pada waktu pagi, tren dari Pulau Sebang akan masuk ke ibu kota manakala sebelah petang tren akan keluar dari KL Sentral ke Pulau Sebang,” katanya selepas Program Lawatan Tapak Bersama Media Meninjau Projek KVDT2 dari Stesen Bandar Tasik Selatan ke Kajang hari ini

Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA), Manoj Radhakrishnan memaklumkan komitmen bersama antara kerajaan, KTMB, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan pihak kontraktor telah membolehkan garis masa projek ini dipendekkan berbanding sasaran asal.

Menurutnya, kemajuan projek kini tertumpu kepada dua laluan utama iaitu Bandar Tasik Selatan ke Seremban serta Abdullah Hukum ke Pelabuhan Klang.

“Bagi laluan Pelabuhan Klang, kami sudah menyiapkan satu landasan dan tren kargo kini sudah mula beroperasi dengan kapasiti beban gandaan 20 tan. Sebaik sahaja kami menyiapkan persimpangan dari Bandar Tasik Selatan ke Bangi, keseluruhan landasan projek ini akan mencapai tahap 50 peratus siap,” katanya.

Katanya, KVDT2 merupakan kekangan utama bagi KTMB untuk menjalankan perkhidmatan penuh ETS yang lebih pantas dari Johor Bahru ke Padang Besar.

“Apabila siap nanti, kita boleh memindahkan lebih banyak pergerakan kontena dari jalan raya ke landasan rel selaras dengan inisiatif Road-to-Rail kerajaan,” katanya.

Afzar dalam pada itu menjelaskan, penaiktarafan itu dilakukan kerana nfrastruktur sedia ada yang dibina sejak 1994 memerlukan pembaharuan sistem semboyan, komunikasi dan kapasiti beban landasan.

“Landasan ini dinaik taraf daripada kapasiti 16 tan beban ganda (axle load) kepada 20 tan. Penaiktarafan ini dapat memastikan operasi tren lebih selamat, lancar serta meningkatkan tahap keselesaan dan kekerapan tren.

“Jika sekarang kekerapan adalah sekitar 20 minit, kami sasar untuk mengurangkannya kepada 15 minit malah boleh mencecah sehingga 7.5 minit bagi kawasan pusat bandar sebaik projek ini siap sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai kecurian kabel, beliau berkata, kabel baharu akan ditanam dengan lebih dalam iaitu 0.8 meter selain rondaan secara berkala dipergiatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN