PETALING JAYA: Insiden kecurian kira-kira 100 meter kabel di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting menyebabkan gangguan kepada sistem semboyan sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, kejadian itu dikesan oleh Polis Bantuan KTMB pada awal pagi ini selepas pemeriksaan di lokasi mendapati kehilangan kabel yang memberi kesan kepada sistem semboyan di laluan berkenaan.
Katanya, susulan insiden itu, beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara yang melalui laluan terbabit mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal.
“Bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara, tren No. 2902 mengalami kelewatan sekitar 34 minit, diikuti No. 2904 dengan kelewatan 40 minit, No. 2903 lewat 23 minit dan tren No. 2905 merekodkan kelewatan semasa 25 minit.
“Semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan tersebut turut dijangka mengalami kelewatan.
“Antaranya adalah EP9121 lewat 90 minit, EX9171 lewat 21 minit, EP9323 lewat enam minit dan EG9343 lewat tiga minit,” katanya.
Insiden kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah memberi kesan terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
“Pasukan teknikal sedang giat melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan pergerakan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.
“Penumpang disarankan mendapatkan maklumat terkini berhubung status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB atau merujuk kakitangan stesen bertugas bagi mendapatkan bantuan lanjut.
“KTMB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi serta menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang,” katanya. – UTUSAN










