KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan supaya seorang Ahli Parlimen daripada Pas untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama pengganti jawatan Ketua Pembangkang itu akan diumumkan sebelum akhir bulan Mac ini.
Katanya, sehingga nama pengganti itu diumumkan, Hamzah kekal dengan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.
“Namanya akan diumumkan setelah beberapa proses dalaman parti dilaksanakan. Kita ada satu dua proses lagi di peringkat parti tapi ia pasti datang daripada Pas.
“Pada masa sama, kita juga akan mengambil kira pandangan rakan-rakan Ahli Parlimen pembangkang lain. Kita boleh adakan sesi libat urus supaya ada konsensus dengan pelantikan Ketua Pembangkang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas keputusan dibuat di peringkat parti diumumkan, PN akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung pelantikan tersebut.
“Jadi setakat hari ini, masih lagi (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Hamzah (Zainuddin),” katanya.
13 Februari lalu, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang menjadi persoalan selepas beliau dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan krisis dalaman parti tersebut.
Susulan desakan daripada Bersatu, dalam Mesyuarat PN pada 19 Februari lalu, Pas menyatakan minat untuk mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang. – UTUSAN










