PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil sepatutnya menjadi individu yang perlu menurunkan ego berkaitan penyertaan semua bekas ahli UMNO ke dalam parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan penyertaan semula ke parti itu tanpa syarat, ia sudah membuktikan jiwa besar Presiden UMNO itu untuk menerima semula ahli yang dipecat dan digantung.
“Sekiranya ada pihak yang masih terus mencari kesalahan maka perpecahan akan terus berlaku sampai bila-bila. Semua ada kesalahan masing-masing, kita ambil sebagai pengajaran dan kita kuatkan saf.
“Cukup-cukuplah kita berpecah. Penyatuan agama, bangsa lebih utama dari kepentingan diri kita. Tepuk dada, tanyalah iman,” katanya di akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, Isham dilaporkan meminta Ahmad Zahid menurunkan ego dengan berjumpa dan meminta maaf kepada pemimpin parti itu yang telah dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas membuka semula pintu UMNO.
Menurut bekas Ketua Penerangan UMNO itu, ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan berbanding meminta pemimpin terlibat ‘menghadapnya’ ketika beliau kini dilihat terdesak dan kecewa kerana UMNO kehilangan sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU).
Isham mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam mengenai UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama. – UTUSAN










