Fernandes, Sesko bawa Man United ke tangga ketiga EPL

Fernandes, Sesko bawa Man United ke tangga ketiga EPL

PEMAIN-Pemain United meraikan jaringan Benjamin Sesko pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Old Trafford, malam ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes muncul sebagai watak utama membantu kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace, apabila menyempurnakan sepakan penalti sebelum mencipta bantuan gol buat Benjamin Sesko.

Kemenangan itu memastikan United melonjakkan ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Aksi di Old Trafford itu menyaksikan United bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata penting dalam perebutan kelompok teratas liga.

Kejayaan tersebut turut memanjangkan rekod tanpa kalah pengurus sementara, Michael Carrick kepada tujuh perlawanan sejak mengambil alih tugas pertengahan Januari lalu.

United kini mengumpul 51 mata daripada 28 perlawanan, memperkukuhkan kedudukan dalam kelompok pencabar utama, manakala Palace kekal di tangga ke-14 dengan 35 mata.

Bagaimanapun, perlawanan tidak bermula seperti dirancang buat tuan rumah apabila Palace mengejutkan penyokong seawal minit keempat.

Pertahanan pelawat, Maxence Lacroix menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru, menjadikan jaringan paling awal dibolosi United di laman sendiri musim ini.

Gol tersebut jelas menyentak rentak United yang dilihat bergelut mencari keserasian sepanjang babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah meningkatkan tempo permainan dan tekanan berterusan dan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-57.

Pengadil perlawanan telah menghadiahkan penalti selepas Matheus Cunha dijatuhkan Lacroix di dalam kotak penalti, situasi yang turut menyaksikan pertahanan Palace itu dilayangkan kad merah.

Fernandes tenang menyempurnakan sepakan untuk mengikat kedudukan 1-1 dan meniup semangat kebangkitan United dan kelebihan bermain lebih seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh tuan rumah.

Lapan minit selepas gol penyamaan, Fernandes sekali lagi memainkan peranan penting apabila sepakan percumanya tepat menemui Sesko yang tidak dikawal, sebelum penyerang itu menanduk masuk gol kemenangan.

Jaringan tersebut mengesahkan kebangkitan dramatik United, sekali gus memastikan tiga mata penuh diraih di Old Trafford.

Kemenangan ini bukan sahaja meningkatkan moral pasukan, malah memberi isyarat jelas bahawa United kembali berada di landasan tepat untuk menamatkan musim dalam kelompok teratas EPL.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN