LONDON: Mikel Arteta mahu barisan pemain Arsenal mengekalkan kelebihan lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan impian mereka menjulang kejuaraan menjadi kenyataan.
Pengendali The Gunners itu berkata, aksi cemerlang ketika membenam Tottenham 4-1 semalam perlu diteruskan dalam perlawanan akan datang selepas mereka keciciran mata dalam aksi sebelum ini.
Arteta menyifatkan aksi berdepan Spurs sebagai titik perubahan musim ini selepas aksi hambar dalam dua aksi terakhir yang membuka ruang buat Manchester City menjulang gelaran jika memenangi baki 11 perlawanan musim ini.
“Selepas apa yang berlaku menentang Wolves, ia sangat sukar, tetapi itulah keindahan bola sepak. Apabila anda tonton semula, sukar untuk faham bagaimana kami seri perlawanan itu. Anda rasa marah, kecewa dan malu.
“Kami datang daripada pelbagai latar belakang dan negara, tetapi amat menggembirakan melihat bagaimana kami bersatu dan bertanya, bagaimana kami mahu jadikan situasi ini sebagai titik perubahan untuk jadi lebih baik,” katanya.
Dalam masa yang sama, Arteta menyifatkan tugasnya bersama Arsenal lebih daripada sekadar pekerjaan.
“Ia lebih besar daripada kerja. Ini semangat dan tujuan hidup kami. Ia sangat menyakitkan tetapi juga boleh memberi ganjaran besar,” kata Arteta.
Pengendali Arsenal itu juga dilihat lebih tenang menjelang minggu pertama tanpa aksi pertengahan minggu dalam tempoh dua bulan.
“Saya rasa kami sudah tunjukkan siapa kami, tetapi kami perlu buktikan lagi dan lagi. Saya tidak mungkin lebih bangga dan gembira dengan apa yang saya lihat, terutama bagaimana kami mengharungi 72 jam terakhir,” katanya.
Mengulas mengenai aksi berdepan Spurs, Arteta memuji Eberechi Eze yang meneruskan rentak cemerlang di Stadium emirates dengan meledak dua gol.
“Saya nampak dia mahu buktikan sesuatu. Dia kecewa dengan saya kerana tidak menurunkannya dari awal ketika menentang Wolves,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus baharu Tottenham, Igor Tudor mengakui cabaran besar menantinya selepas permulaan hambar bersama kelab itu.
“Saya sangat sedih, tetapi dalam satu sudut ia baik untuk memahami di mana kedudukan kami. Perlawanan ini menunjukkan realiti supaya setiap daripada kami sedar. Setiap pemain perlu cermin diri dan mula mengubah tabiat. Kerja keras satu-satunya jalan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










