The Reds bernasib baik - Slot

The Reds bernasib baik – Slot

Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister meraikan jaringan gol menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris di The City Ground, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya bernasib baik berjaya meraih tiga mata penuh ketika menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Dalam aksi di City Ground itu, Alexis Mac Allister muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan jarak jauh dalam masa kecederaan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada The Reds.

“Saya nampak lebih konsisten sejak kebelakangan ini, bukan saja persembahan Mac Allister tetapi juga pasukan dan beberapa pemain lain. Memang seronok buat pemain menjaringkan gol, lebih-lebih lagi pada penghujung masa tambahan.

“Kami perlukan gol itu dan kemenangan itu untuk sekali-sekala berada di pihak yang bernasib baik. Musim ini kami sering tidak bernasib baik dan hari ini, sekurang-kurangnya pada pandangan saya, kami sedikit bernasib baik,” kata Slot.

Pengurus kelahiran Belanda itu turut mengakui emosinya bercampur antara gembira dan lega kerana persembahan pasukan tidak berada pada tahap sebenar.

“Ini mungkin kali pertama saya perlu berdepan sidang media dengan nada berbeza kerana hari ini kami tidak bermain dengan baik. Persembahan terutama pada separuh masa pertama tidak seperti kebiasaan musim ini. Banyak kali kami beraksi baik tetapi keputusan tidak memihak kepada kami.

“Hari ini (semalam), saya rasa kami dapat lebih daripada yang sepatutnya. Keputusan seri mungkin lebih adil berbanding kemenangan,” katanya.

Mac Allister turut mengakui Liverpool tidak beraksi baik manakala pengendali Nottingham Forest, Vitor Pereira berpendapat pasukannya sepatutnya sekurang-kurangnya meraih satu mata.

“Perasaan bercampur-campur. Saya suka menjaringkan gol dan menang, jadi itu hari yang baik. Tetapi pada masa sama, kami tidak bermain dengan baik. Banyak perkara perlu diperbaiki,” kata Mac Allister.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga keenam tetapi berkongsi mata dengan Chelsea dan Manchester United serta hanya enam mata di belakang Aston Villa. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN