LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior meluahkan kekecewaan terhadap sikap dan disiplin pasukannya selepas terlepas dua mata berharga susulan keputusan seri 1-1 menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris(EPL), semalam.
Menurut Rosenior, kelemahan asas ketika mempertahankan situasi bola mati menjadi punca utama The Blues dihukum pada saat genting perlawanan.
“Ia tidak boleh diterima. Pemain terbaik mereka dibiarkan bebas dalam kotak penalti ketika situasi bola mati. Itu kesilapan asas,” tegasnya.
Tambahnya, isu sama berulang terlalu kerap dan menjejaskan usaha Chelsea untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik bagi memburu tiket ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
Namun cabaran lebih getir menanti apabila mereka bakal berdepan jadual sukar termasuk menentang Arsenal, Aston Villa, Newcastle United dan Manchester City dalam beberapa aksi liga akan datang.
“Ada pemain yang sudah diberi tanggungjawab jelas, tetapi gagal melaksanakannya. Pada tahap ini, kesilapan kecil dihukum mahal. Kami kehilangan dua mata kerana kecuaian sendiri,” katanya.
Chelsea bermula garang apabila Joao Pedro meletakkan tuan rumah di depan seawal minit keempat, sekali gus memberi bayangan tiga mata penuh bakal kekal di Stamford Bridge.
Namun kegagalan menambah jaringan ketika menguasai permainan mengundang padah apabila disiplin longgar sekali lagi menghantui skuad London itu apabila Wesley Fofana dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua, menjadikannya kad merah keenam Chelsea musim ini.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan Burnley sepenuhnya apabila Zian Flemming menanduk masuk sepakan penjuru pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1. – AGENSI/UTUSAN










