Budak melintas jalan sesak diselamatkan pemandu kereta

Budak melintas jalan sesak diselamatkan pemandu kereta

TANGKAP layar rakaman dashcam menunjukkan seorang kanak-kanak melintas secara tiba-tiba di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Terachi sebelum diselamatkan orang awam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengguna jalan raya di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Terachi di sini dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak yang melintas jalan berkenaan secara tiba-tiba malam semalam.

Video kejadian berkenaan yang dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta turut tular di media sosial.

Pemilik video berkenaan, Muhamad Raihan Ab Halim, 29, berkat, ketika kejadian, dia bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Lukut, Port Dickson selepas beraya di rumah rakan ibunya di Batu Kikir, Jempol.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.17 malam ketika keadaan jalan sesak sebelum seorang kanak-kanak secara tiba-tiba melintas ke tengah jalan.

“Pada awalnya, kelibat kanak-kanak itu agak samar kerana kawasan tersebut sedikit gelap, namun secara tiba-tiba dia melintas ke tengah jalan ketika lalu lintas sesak.

“Saya dan kakak beberapa kali menyebut ‘budak, budak’, malah kakak saya bercadang untuk turun membantu namun dihalang ibu yang berada di tempat duduk belakang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, dia hanya mampu membunyikan hon serta menggunakan lampu tinggi sebagai amaran kepada pengguna kenderaan lain.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki dari kenderaan belakang turun dan segera mendapatkan kanak-kanak tersebut.

“Saya turut melihat beberapa individu lain membantu sebelum kanak-kanak itu dibawa ke sebuah rumah di seberang jalan, dipercayai bagi mencari penjaganya,” katanya.

Muhamad Raihan berkata, dia tidak mengetahui perkembangan lanjut kejadian itu kerana meneruskan perjalanan sebaik kanak-kanak terbabit diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN