AUSTIN: Pelumba Itali, Marco Bezzecchi meneruskan rentak luar biasa apabila meraih kemenangan ketiga berturut-turut musim ini selepas menjuarai Grand Prix (GP) Amerika Syarikat(AS) di Litar Americas, Texas, semalam.
Pelumba pasukan Aprilia Racing itu turut mencipta rekod baharu dalam sejarah MotoGP apabila merekodkan 121 pusingan berturut-turut mendahului perlumbaan, mengatasi rekod lama 103 pusingan milik legenda Sepanyol, Jorge Lorenzo.
“Saya gembira. Saya terlalu gembira, semalam (kelmarin) saya melakukan kesilapan, jadi sangat penting untuk berlumba dengan baik hari ini (semalam).
“Saya amat kecewa dan penyokong memberi saya semangat untuk bangkit hari ini (semalam),” katanya selepas perlumbaan.
Bermula di petak kedua di belakang rakan senegara, Fabio Di Giannantonio dari pasukan VR46 Racing Team, Bezzecchi pantas mengambil alih kedudukan pendahulu seawal tiga pusingan pertama sebelum kekal tanpa dicabar hingga garisan penamat.
Di Giannantonio yang meraih petak utama bagaimanapun sekadar menamatkan saingan di tempat kelima selepas dipintas beberapa pelumba termasuk Bezzecchi.
Catatan masa 40 minit 50.653 saat menyaksikan Bezzecchi menewaskan rakan sepasukan Aprilia dari Sepanyol, Jorge Martin yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan jurang 2.036 saat, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Pedro Acosta dari KTM Factory Racing.
Bezzecchi kini kembali menerajui kedudukan keseluruhan dengan kutipan 81 mata berbanding 77 mata milik Martin, juara dunia 2024.
Dalam masa sama, penyandang juara dunia, Marc Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima, masih memegang rekod kemenangan berturut-turut lebih panjang dalam era moden, bersama legenda Valentino Rossi.-AGENSI










